BERITA TERKINI   Liga Super: KL City 0-4 JDT | Dividen operasi Felcra bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan 15 peratus, dibayar awal tahun depan - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia raih pingat emas acara Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) wanita | Rombakan Kabinet: Kerajaan mahu beri peluang kepada pemimpin muda untuk memimpin - PM Anwar | Tumpuan saya tahun depan adalah untuk meneruskan reformasi negara dan menyelesaikan masalah penduduk - PM Anwar | 

Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Rendah, Menjejaki Pasaran Niaga Hadapan Serantau

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup sedikit rendah pada Isnin seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Peniaga itu berkata sentimen pasaran dipengaruhi oleh ketidaktentuan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) dengan prospek kadar faedah AS kekal lebih tinggi untuk tempoh lebih lama.

"Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kelemahan ringgit berbanding dolar AS dan kenaikan harga minyak mentah dengan harga minyak mentah Brent melepasi US$81 setong kerana sekatan AS yang lebih meluas.

"Keadaan ini dijangka menjejaskan eksport minyak mentah Rusia kepada pembeli utama iaitu China dan India," katanya kepada Bernama.

Sekatan baharu akan menjejaskan eksport minyak Rusia selain mendorong China dan India masing-masing sebagai pengimport minyak teratas dan ketiga terbesar dunia untuk mendapatkan lebih banyak minyak mentah dari Timur Tengah, Afrika serta Amerika yang akan meningkatkan harga dan kos penghantaran.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) dan lateks pukal masing-masing susut sebanyak 2.50 sen sekilogram, masing-masing kepada 873.50 sen sekilogram dan 674.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA