BERITA TERKINI   Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya batalkan saman pemula P. Waytha Moorthy cabar pelantikan beliau sebagai PM | Sunway Healthcare Holdings Bhd mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.70, premium 25 sen daripada harga IPO RM1.45, dengan 38.37 juta saham diniagakan | Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Bandar Baru Tanah Merah, Jalan Machang-Tanah Merah awal pagi tadi - Bomba | 

Institusi Tempatan Sokong Bursa Malaysia Untuk Minggu Ke-12 Berturut-Turut

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Institusi tempatan menyokong Bursa Malaysia untuk minggu ke-12 berturut-turut, dengan belian bersih sebanyak RM281.9 juta, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF). 

Bagaimanapun, angka ini menunjukkan penurunan berbanding belian bersih sebanyak RM304.0 juta pada minggu sebelumnya.

Dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 10 Januari, MIDF berkata institusi tempatan meneruskan belian bersih mereka kepada 36 hari dagangan berturut-turut.

Menurut MIDF, peruncit tempatan menjadi pembeli bersih selepas dua minggu mencatatkan jualan bersih, menyumbang RM220.3 juta dalam aliran masuk bersih.

“Aktiviti dagangan melonjak dalam semua kategori, dengan purata jumlah dagangan harian (ADTV) meningkat 30.8 peratus untuk pelabur asing, 29.8 peratus untuk institusi tempatan dan 19.8 peratus untuk pelabur runcit,” katanya.

Pelabur asing meneruskan momentum jualan mereka, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM502.2 juta minggu lepas, merupakan jualan selama 12 minggu berturut-turut.

Aliran keluar tertinggi adalah pada Khamis (RM162.3 juta) manakala hari lain antara RM56.1 juta dan RM111.5 juta.

“Sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah pembinaan (RM271.1 juta) dan amanah pelaburan hartanah (REIT) (RM20 juta).

“Sementara itu, sektor utama dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM142.7 juta), perkhidmatan kewangan (RM130.0 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM92.5 juta),” katanya.

-- BERNAMA