BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah UTM jalankan kajian pengaruh media sosial terhadap murid, pelajar - Istana Negara  | Raja Permaisuri Agong pandang serius kes rogol di sekolah, titah rujuk modul kempen TinDak wujudkan persekitaran sekolah selamat - Istana Negara | Kes tikam pelajar perempuan: Pentadbir sekolah akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah hingga siasatan selesai - KP KPM | KPM bekerjasama rapat dengan PDRM bagi perkukuh pemantauan keselamatan di sekolah seluruh negara - KP | KPM tidak anggap kes tikam pelajar dan salah laku seksual sebagai kes terpencil - KP | 

​​​​​​​Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh, disokong oleh pasaran tenaga kerja AS yang lebih baik dan ekonomi yang kukuh, kata penganalisis.  

Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.5100/5185 berbanding dolar AS daripada 4.4945/5000 pada Jumaat lepas.  

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran tenaga kerja AS kekal berdaya tahan, dengan data senarai gaji bukan ladang yang terkini melebihi jangkaan.

Disember menyaksikan tambahan 256,000 pekerjaan, mengatasi anggaran konsensus sebanyak 160,000.  

“Gabungan dasar yang tidak pasti di bawah Trump 2.0 dan ekonomi AS yang kukuh menunjukkan permintaan tinggi terhadap dolar AS.

“Hasil positif memberikan gambaran bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS tidak akan kehilangan kawalan terhadap dasar monetari, menjadikan penurunan kadar faedah seterusnya semakin mencabar,” katanya kepada Bernama.  

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) kini berada pada paras tinggi pada 109.706 mata.  

“Ini adalah paras tertinggi sejak September 2022, tempoh ketika Fed aktif menaikkan kadar faedah.

“Oleh itu, ringgit dijangka kekal rendah dalam masa terdekat,” katanya.  

Sementara itu, ringgit dibuka bercampur-campur berbanding mata wang utama.  

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8557/8614 daripada 2.8461/8497 pada Jumaat lepas, bagaimanapun meningkat berbanding pound kepada 5.5040/5144 daripada 5.5296/5364. Ia turut naik berbanding euro kepada 4.6200/6288 daripada 4.6298/6355 sebelum ini.  

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.  

Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9960/13.0461 daripada 12.9824/13.0043 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 278.5/279.2 daripada 277.5/278.0.  

Ringgit turut susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2881/2948 daripada 3.2843/2888 sebelum ini dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.74 daripada 7.70/7.71 pada Jumaat lepas. 

-- BERNAMA