BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADEĀ  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Ringgit Ditutup Rendah Susulan Data Positif Kukuhkan Dolar AS

 

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Ringgit mengakhiri peningkatan semalam apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan pengumuman data-data negara maju itu yang lebih positif dan menarik pelabur kembali menumpukan mata wang itu.

Pada 6 petang, ringgit turun kepada 4.5000/5050 berbanding dolar AS daripada paras 4.4850/4900, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, prestasi ringgit kebanyakannya mendatar berbanding dolar AS dengan gandingan USD/MYR dalam julat RM4.4885 hingga RM4.5005.

“Pengumuman data lebih positif di AS pada malam tadi seperti penawaran pekerjaan dan Indeks ISM bagi sektor bukan pembuatan, telah melonjakkan asas bagi pelaksanaan dasar monetari lebih longgar dan berperingkat oleh pihak Rizab Persekutuan AS (Fed).

“Sehubungan itu, pasaran akan memantau maklumat akan datang seperti minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan dan data pasaran tenaga kerja bagi Disember. Statistik gaji bukan perladangan pula akan diumumkan pada Jumaat dengan jangkaan ramai mengunjurkan pewujudan 154,000 pekerjaan pada Disember yang lebih rendah berbanding 227,000 dalam November,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata ADP Employment Change yang mengukur pewujudan pekerjaan dalam sektor swasta, akan diumumkan malam ini dengan konsensus menjangkakan 139,000 pekerjaan dalam Disember berbanding 146,000 bagi November.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih mengukuh berbanding mata wang utama lain pada akhir urus niaga hari ini.

Ini termasuk mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8449/8482 daripada 2.8458/8492 sebelum ini, naik berbanding pound Britain kepada 5.6020/6083 daripada 5.6341/6403 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6431/6483 daripada 4.6756/6808.

Ringgit juga diniagakan meningkat berbanding mata wang negara anggota ASEAN.

Berbanding baht Thailand, ringgit naik kepada 12.9949/13.0168 daripada 13.0045/0258 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 277.5/278.0 daripada 277.7/278.2.

Selain itu, ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2919/2958 daripada 3.2983/3022 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.72 daripada 7.71/7.72.

-- BERNAMA