BERITA TERKINI   Liga Super: KL City 0-4 JDT | Dividen operasi Felcra bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan 15 peratus, dibayar awal tahun depan - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia raih pingat emas acara Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) wanita | Rombakan Kabinet: Kerajaan mahu beri peluang kepada pemimpin muda untuk memimpin - PM Anwar | 

JS-SEZ Pacu Integrasi Ekonomi, Pertingkat Jumlah Pekerjaan - Maybank 

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dapat memacu integrasi ekonomi secara lebih ketara selain memangkin pertumbuhan dan menggalakkan penyertaan ekonomi yang lebih besar bagi Malaysia dan republik itu.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) Datuk Khairussaleh Ramli berkata perjanjian itu juga dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan perdagangan intra-serantau selain memperkasa daya tahan rantau ini sebagai sebuah blok ekonomi.

“Kami juga melihat potensi pertumbuhan lebih kukuh dalam industri halal di JS-SEZ yang dapat menyediakan perkhidmatan untuk pasaran global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pagi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura berkaitan JS-SEZ bersama enam lagi memorandum persefahaman dan satu surat hasrat.

Menjelaskan selanjutnya, Khairussaleh berkata apabila JS-SEZ dapat direalisasikan dan seterusnya memudahkan pergerakan barangan dan orang ramai, Maybank selaku bank keempat terbesar dari segi aset di Asia Tenggara, menjangkakan pertumbuhan kukuh dalam pembayaran rentas sempadan.

"Kami melihat peningkatan jumlah transaksi rentas sempadan yang memberangsangkan iaitu hampir 60 peratus daripada 229,900 pada akhir 2023 kepada 336,700 pada 2024," katanya.

-- BERNAMA