BERITA TERKINI   Kira-kira 60 peratus kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin lori di Taman Kota Puteri musnah terbakar, tiada mangsa terlibat - Bomba Johor | Malaysia akan perluas pasaran minyak sawit ke negara yang belum pernah jadi pembeli - Johari | Pemeriksaan kesihatan sebahagian komitmen PM untuk pastikan beliau kekal cergas terajui pentadbiran negara - Pengarah Hospital Serdang | PM Anwar jalani pemeriksaan kesihatan tahunan, kesihatan berada dalam keadaan sangat baik - Pengarah Hospital Serdang | Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri serta Labuan sehingga 5 petang ini - MetMalaysia | 

Negeri Sembilan Rekod Kutipan Hasil Berjumlah RM636 Juta Pada 2024 - Menteri Besar

SEREMBAN, 7 Jan ( Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan berjaya merekodkan kutipan hasil berjumlah RM636 juta pada tahun lepas melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu pada RM520 juta, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ini merupakan satu pencapaian membanggakan dan sekali gus mencerminkan dedikasi, integriti serta usaha gigih seluruh penjawat awam negeri.

"Kita semua dapat merasai perubahan pentadbiran yang dilakukan sehingga kerajaan negeri berjaya mencapai lebihan pendapatan selama tiga tahun berturut-turut," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025, di sini, hari ini.

Justeru, beliau menyeru semua pihak agar memberi fokus kepada agenda besar kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang untuk mencapai sasaran kutipan hasil pendapatan negeri mencecah RM1 billion.

Aminuddin berkata melalui perancangan yang dilaksanakan dengan kerjasama utuh daripada semua pihak, akan dapat memacu pembaharuan di negeri ini.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata, sepanjang tempoh 2019 hingga Oktober 2024, sebanyak RM2.32 bilion telah dibelanjakan bagi pelbagai kerja penyelenggaraan jalan di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan perolehan aset dan jentera bernilai RM5.59 juta bagi menggantikan 27 kenderaan usang serta membekalkan 18 dron untuk meningkatkan kecekapan pengurusan penyelenggaraan jalan negeri di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Menurutnya, pada tahun lepas, kerajaan negeri menerima peruntukan penyenggaraan jalan negeri MARRIS daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM395 juta, iaitu pertambahan sebanyak RM20.6 juta (5.5 peratus) berbanding RM374.4 juta pada 2023.

-- BERNAMA