Ringgit Ditutup Bercampur-campur Apabila Pelabur Terus Beli Aset Selamat
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Ringgit ditutup bercampur-campur berbanding kalangan mata wang utama pada Khamis berikutan pelabur terus membeli aset selamat.
Pada 6 petang, ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada 3.9630/9670 daripada 3.9510/9550 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang pasaran yang sedang pesat membangun turut rendah berbanding dolar AS.
Beliau berkata unit tempatan turun 0.29 peratus kepada RM3.9645 ketika sesi dagangan awal.
Rundingan damai AS-Iran masih mengalami kebuntuan justeru prospek rundingan semula semakin pudar, katanya.
Beliau berkata oleh yang demikian perkembangan di Asia Barat akan terus menjadi tumpuan utama kerana akan mempengaruhi minat risiko dalam kalangan peniaga dan pelabur.
“Pasaran dijangka berada dalam corak defensif dan oleh itu, dolar AS berpotensi meraih sedikit daya tarikan,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, ringgit kebanyakannya rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding euro kepada 4.6343/6390 daripada 4.6408/6455 ketika ditutup pada Rabu, namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.4809/4836 daripada 2.4794/4821.
Ringgit turun berbanding pound British kepada 5.3504/3558 daripada 5.3414/3468.
Mata wang tempatan juga kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1041/1075 daripada 3.1030/1063 semalam, namun mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.2066/2242 daripada 12.2717/2902.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 229.2/229.5 daripada 229.9/230.2, dan naik sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.55/6.56 daripada 6.57/6.58 ketika ditutup semalam.
-- BERNAMA