BERITA TERKINI   Pimpinan tinggi agensi penguatkuasaan diberi tempoh seminggu nyata kesediaan pikul amanah atau tukar ke jawatan lain - PM Anwar | PM Anwar beri amaran keras kepada pihak berkuasa, kesal masih wujud kelemahan tatakelola dalam negara | Peralihan sistem MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigitalID kepada satu sistem tunggal di pintu masuk negara dijangka bermula tahun ini – Saifuddin Nasution | Kes libatkan pegawai tertinggi ATM: MINDEF tidak akan lindungi sesiapa, beri kerjasama penuh pastikan siasatan bebas, telus - Mohamed Khaled | Semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 secara kolektif dan sukarela letak jawatan serta-merta hari ini - FAM | 

Institusi Tempatan Pembeli Bersih Di Bursa Malaysia Bagi Minggu Ke-11

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Institusi tempatan menyokong Bursa Malaysia bagi minggu ke-11 berturut-turut dengan jumlah belian bersih ekuiti domestik bernilai RM304.0 juta.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) menerusi Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 3 Jan, 2024, berkata institusi tempatan juga merupakan pembeli bersih setiap hari pada minggu lepas, melanjutkan belian berterusan bagi 31 hari dagangan berturut-turut.

Sebaliknya, peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih ekuiti domestik dengan mencatat penjualan bernilai RM256.9 juta dan menandakan minggu kedua jualan secara berterusan.

Pelabur asing juga mengekalkan momentum jualan mereka dengan aliran keluar dana bersih bernilai RM427.1 juta pada minggu lepas.

Perkembangan itu menunjukkan aktiviti jualan mereka yang berlanjutan bagi minggu ke-11 berturut-turut dan terpanjang bagi tahun lepas.

Penjualan bersih itu berlaku dalam tiga daripada empat hari dagangan dalam minggu singkat berikutan pasaran ditutup pada Rabu lepas bersempena cuti umum Tahun Baharu.

Jumlah aliran keluar paling ketara berlaku pada Jumaat (RM423.8 juta) dan diikuti pada Khamis (RM55.8 juta) manakala aliran masuk masing-masing pada Isnin (RM570,000) dan Selasa (RM11.2 juta).  

"Sektor yang menyaksikan aliran masuk bersih asing tertinggi adalah hartanah (RM115.7 juta), utiliti (RM36.8 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (RM29.0 juta).  

“Selain itu, sektor utama dengan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah pembinaan (RM89.3 juta), perkhidmatan kewangan (RM45.8 juta) dan perladangan (RM45.5 juta)," kata MIDF. 

-- BERNAMA