BERITA TERKINI   STAM 2025: 2,816 calon berjaya lepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan STAM - KPM | Johor tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM8, RM10 dan RM20 - Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor | Nilai transaksi perbelanjaan SARA di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion - Amir Hamzah | Sebanyak RM150 juta baki peruntukan bantuan Program SARA (MyKasih) tidak dibelanjakan penerima sehingga 31 Dis 2025 - Amir Hamzah | Seorang lelaki maut dan tujuh lagi cedera dalam kemalangan di KM 433 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Rawang awal pagi tadi - Bomba Selangor | 

Ekonomi Singapura Berkembang 4.3 Peratus Pada Suku Keempat 2024 - MTI

SINGAPURA, 2 Jan (Bernama) -- Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, lebih perlahan daripada pengembangan 5.4 peratus pada suku sebelumnya, menurut anggaran awal daripada Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI).

Bagi sepanjang tahun itu, ekonomi negara itu berkembang sebanyak 4.0 peratus, mengatasi pertumbuhan 1.1 peratus pada 2023, kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dalam perutusan Tahun Baharu berkata bahawa ekonomi berkembang melebihi jangkaan iaitu sebanyak 4.0 peratus.

Pada asas pelarasan musim suku ke suku, ekonomi berkembang sebanyak 0.1 peratus, menyederhana daripada pertumbuhan 3.2 peratus pada suku ketiga.

Dalam kalangan sektor, pembuatan berkembang 4.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, turun daripada 11.1 peratus pada suku sebelumnya, pengembangan output dalam kluster kejuruteraan elektronik dan pengangkutan memacu pertumbuhan sektor tersebut.

Sektor pembinaan berkembang sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, lebih pantas daripada pengembangan 4.7 peratus pada suku sebelumnya, disebabkan oleh pengeluaran pembinaan sektor awam lebih tinggi.

Dalam sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan berkembang sebanyak 5.6 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024 daripada pertumbuhan 5.2 peratus pada suku sebelumnya

Semua sektor dalam kumpulan berkenaan kecuali perdagangan runcit, mencatatkan pertumbuhan.

Sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans serta perkhidmatan profesional berada pada 3.7 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, susut daripada 4.3 peratus pada suku sebelumnya, semua sektor dalam kumpulan tersebut mencatatkan pertumbuhan.

Bagi sektor perkhidmatan lain termasuk perkhidmatan penginapan dan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta perkhidmatan lain, berkembang 2.6 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, lebih cepat daripada pertumbuhan 1.4 peratus pada suku sebelumnya, semua sektor dalam kumpulan ini mencatatkan pertumbuhan.

MTI akan mengeluarkan unjuran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku keempat 2024 dan bagi keseluruhan tahun tersebut termasuk prestasi sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan dan produktiviti dalam Tinjauan Ekonomi Singapura pada Februari 2025.

-- BERNAMA