BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | Sukan SEA 2025: Pemanah Malaysia raih pingat emas acara compound berpasukan lelaki | Dana pembiayaan Bumiputera dan usahawan India, masing-masing dinaikkan kepada RM500 juta dan RM50 juta pada 2026 - Sim | 

Bintulu Port Dapat Lanjutan Operasi 12 Bulan Menerusi Perjanjian Interim Ketiga

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB), anak syarikat milik penuh Bintulu Port Holdings Bhd, telah memeterai perjanjian interim (IA) ketiga dengan Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) bagi lanjutan operasi selama 12 bulan di Pelabuhan Bintulu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Bintulu Port berkata lanjutan itu meliputi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025 atau sehingga Pengisytiharan Suatu Kawasan Daerah Bintulu menjadi suatu Akta Pelabuhan Persekutuan (Pembubaran) 2024 dan Akta Lembaga Pelabuhan (Pembubaran) Bintulu 2024 yang berkuat kuasa atau mana lebih awal.

Sebelum ini, BPSB telah memeterai IA awal dengan kerajaan dan BPA bagi meneruskan operasi Pelabuhan Bintulu di bawah tempoh interim (IP) selama enam bulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2023.

Ini seterusnya diikuti oleh IA kedua dengan lanjutan IP selama 12 bulan dari 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2024 dan lanjutan enam bulan lagi sehingga 31 Disember 2024, katanya.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memindahkan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri Sarawak dan menukar statusnya kepada pelabuhan negeri menerusi pemeteraian memorandum persefahaman pada 22 Mac 2024 bagi memudah cara peralihan itu.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan telah membentangkan perundangan berkaitan di Parlimen dan kedua-dua Rang Undang-Undang Pelabuhan Persekutuan (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 telah diluluskan.

“Pada masa ini, kerajaan negeri, BPA dan BPSB sedang memuktamadkan Perjanjian Operasi Pelabuhan bagi pelantikan BPSB sebagai pengendali apabila Pelabuhan Bintulu menjadi pelabuhan negeri yang dikawal selia oleh Sarawak," katanya.

-- BERNAMA