BERITA TERKINI   Raja Permaisuri Agong titah UTM jalankan kajian pengaruh media sosial terhadap murid, pelajar - Istana Negara  | Raja Permaisuri Agong pandang serius kes rogol di sekolah, titah rujuk modul kempen TinDak wujudkan persekitaran sekolah selamat - Istana Negara | Kes tikam pelajar perempuan: Pentadbir sekolah akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah hingga siasatan selesai - KP KPM | KPM bekerjasama rapat dengan PDRM bagi perkukuh pemantauan keselamatan di sekolah seluruh negara - KP | KPM tidak anggap kes tikam pelajar dan salah laku seksual sebagai kes terpencil - KP | 

Samenta Gesa Kelantan Pertimbang Semula Keperluan Pensijilan Halal Bagi Pengusaha F&B

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan Kelantan mempertimbangkan semula keputusannya mewajibkan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman (F&B) di negeri itu.

Samenta menjelaskan sebaliknya, kerajaan Kelantan perlu bekerjasama dengan pengusaha F&B untuk mempromosikan pensijilan halal serta dengan pihak berkuasa pensijilan untuk memperkemas dan mengurangkan beban dan kos untuk mendapatkan sijil itu.

Gesaan itu disuarakan Samenta susulan keputusan kerajaan Kelantan baru-baru ini untuk mewajibkan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha F&B di negeri itu, bermula dengan daerah Kota Bharu, sebelum melaksanakannya bagi seluruh negeri.

Presiden Samenta Datuk William Ng berkata pensijilan halal tidak seharusnya diwajibkan kerana meningkatkan beban dan kos tambahan kepada perniagaan, terutama PKS dan peniaga kecil.

“Proses pensijilan halal boleh mencecah sehingga RM200,000 untuk setiap premis jika pengubahsuaian premis diperlukan, dan sehingga RM50,000 setahun jika seorang penyelaras halal diperlukan, di samping kos latihan pekerja baharu dan sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata restoran berangkaian mungkin mampu untuk mematuhi peraturan ketat itu, dan mendapat faedah pensijilan halal.

Bagaimanapun, bagi peniaga kecil, sama ada Muslim atau bukan Muslim, proses dan kos untuk mendapatkan pensijilan halal merupakan satu lagi bebanan kos, dalam persekitaran perniagaan yang sedang mengalami cabaran tekanan kos dan margin keuntungan yang rendah, katanya.

-- BERNAMA