BERITA TERKINI   APG 2025: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin raih emas pertama Malaysia dalam ujian masa berbasikal lebuh raya individu | Dasar Industri Pertahanan Negara tumpu pemantapan ekosistem, rantaian bekalan, daya saing global dan eksport - PM Anwar | APG 2025: Skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara raih pingat pertama kontinjen Malaysia, menang pingat gangsa | Dasar Industri Pertahanan Negara langkah strategik bangunkan industri pertahanan tempatan, kurangkan kebergantungan pihak luar - Mohamed Khaled | Dewan Rakyat: Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri di Sarawak diselesaikan setakat ini - Saifuddin Nasution | 

Batik Air Umum Laluan Baharu Ke Beijing Dan Changsha

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Batik Air hari ini mengumumkan laluan terbaru perkhidmatan penerbangannya yang menghubungkan pelancong dari Malaysia ke Beijing dan Changsha di China.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata penerbangan baharu tersebut akan bermula pada Mac 2025, yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan China sambil meningkatkan peluang bagi pelancongan dan perdagangan.

Penerbangan sulung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing dijadualkan pada 21 Mac 2025, dan akan beroperasi tiga kali seminggu.

Manakala penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changsha Huanghua pula akan bermula pada hari berikutnya, yang menawarkan empat penerbangan seminggu.

Batik Air berkata bandar-bandar ini akan menjadi destinasi ketujuh dan kelapannya di China menambah kepada laluan sedia ada syarikat penerbangan itu ke Chengdu, Guangzhou, Haikou, Kunming, Zhangjiajie, dan Zhengzhou.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Chandran Rama Muthy menekankan kepentingan strategik laluan baharu itu, dengan menyatakan Beijing dan Changsha adalah destinasi utama yang sejajar dengan visi syarikat penerbangan tersebut untuk menghubungkan orang ramai, budaya dan peluang di seluruh Asia.

“Laluan baharu ini menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan sambungan yang lebih luas dan lebih banyak pilihan perjalanan sambil meningkatkan pelancongan dan perdagangan antara Malaysia dan China,” katanya. 

-- BERNAMA