BERITA TERKINI   Dasar Industri Pertahanan Negara tumpu pemantapan ekosistem, rantaian bekalan, daya saing global dan eksport - PM Anwar | APG 2025: Skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara raih pingat pertama kontinjen Malaysia, menang pingat gangsa | Dasar Industri Pertahanan Negara langkah strategik bangunkan industri pertahanan tempatan, kurangkan kebergantungan pihak luar - Mohamed Khaled | Dewan Rakyat: Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri di Sarawak diselesaikan setakat ini - Saifuddin Nasution | 

Kerajaan Mulakan Kajian Semula Anti Lambakan Ke Atas Import Besi Atau Keluli Bukan Aloi Gegelung Gulungan Sejuk

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Kerajaan telah memulakan kajian semula pentadbiran terhadap duti anti lambakan yang dikenakan terhadap import besi atau keluli bukan aloi gegelung gulungan sejuk, dengan kelebaran melebihi 1300mm, berasal atau dieksport dari China, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam. 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata pemulaan kajian semula pentadbiran ini adalah berdasarkan permohonan daripada Mycron Steel CRC Sdn. Bhd. atas alasan bahawa penamatan duti anti lambakan berkemungkinan menyebabkan lambakan dan kemudaratan akan berterusan atau berulang kepada pengeluar tempatan.

"Kerajaan telah mempertimbangkan permohonan dan maklumat yang dikemukakan, dan memutuskan untuk memulakan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan itu selaras dengan subseksyen 28(6) Akta Duti Timbal Balas dan AntiLambakan 1993 (Akta 504) dan peraturan 34 Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan),” kata kementerian itu.

MITI berkata selaras dengan peruntukan di bawah Akta 504 dan Peraturan, penentuan muktamad bagi kajian semula pentadbiran akan dibuat dalam tempoh 180 hari daripada tarikh pemulaan dan soal selidik dan dokumen akan diedarkan kepada pihak berkepentingan yang berkenaan.

Semua pihak berkepentingan berkenaan yang berhasrat untuk memohon soal selidik hendaklah berbuat demikian tidak lewat dari 8 Januari 2025. Mereka juga dijemput untuk menghantar pandangan secara bertulis, menjawab soal seldik dan mengemukakan maklumat sokongan kepada MITI tidak lewat dari 23 Januari 2025.

Sekiranya pihak berkepentingan yang berkenaan tidak mengemukakan maklumat yang perlu atau maklumat dan pandangan itu tidak diterima dalam bentuk yang memadai dalam had masa yang dinyatakan, Kerajaan boleh membuat penentuan muktamad berdasarkan kepada fakta-fakta yang sedia ada.

-- BERNAMA