BERITA TERKINI    Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | ASEAN mahu proses dokumentasi keanggotaan Timor-Leste disiapkan sebelum Kemuncak ASEAN pada Oktober - Mohamad | Kenaikan tarif kepada 25 peratus adalah keputusan Presiden AS Donald Trump bukan menerusi proses rundingan - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di negara itu untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS - Tengku Zafrul | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | ASEAN mahu proses dokumentasi keanggotaan Timor-Leste disiapkan sebelum Kemuncak ASEAN pada Oktober - Mohamad | Kenaikan tarif kepada 25 peratus adalah keputusan Presiden AS Donald Trump bukan menerusi proses rundingan - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di negara itu untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS - Tengku Zafrul |

Ringgit Ditutup Rendah, Teruskan Penurunan Susulan Perubahan Pendirian Fed

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, meneruskan penyusutan apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) menunjukkan pendekatan lebih berhati-hati bagi pengurangan kadar faedah tahun depan, susulan penurunan 25 mata asas pada Rabu.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.5030/5080 berbanding dolar AS daripada 4.4670/4725 ketika ditutup semalam.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pengurangan kadar faedah Fed yang disertai dengan nada berhati-hati itu menunjukkan penurunan kadar selanjutnya pada 2025 mungkin terhad, dan ini menjejaskan sentimen pasaran.

“Awal hari ini, ringgit menunjukkan sedikit daya tahan, disokong keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia yang semakin baik. Bagaimanapun, pergerakan keseluruhan pasaran membebani mata wang tempatan pada akhir dagangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perbezaan kadar faedah sedia ada antara Malaysia dan AS, serta tarif yang mungkin dikenakan ke atas China -- antara rakan dagang utama Malaysia -- boleh memberikan prospek negatif kepada ringgit.

“Daya tahan ekonomi AS yang berterusan, ditambah dengan inflasi berlanjutan, telah meningkatkan spekulasi bahawa Fed mungkin menghadkan pengurangan kadar faedah tahun depan. Faktor-faktor ini dijangka mendorong dolar AS meningkat lebih tinggi,” katanya.

Ringgit mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8687/8723 daripada 2.9074/9112 ketika ditutup semalam namun, turun berbanding pound British kepada 5.6999/7062 daripada 5.6673/6743.

Ringgit juga hampir mendatar berbanding euro kepada 4.6876/6928 daripada 4.6877/6934.

Ringgit juga mengalami prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 13.0322/0530 daripada 13.0378/0618 semalam, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 276.0/276.4 daripada 277.4/277.9.

Unit domestik susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3130/3169 berbanding 3.3045/3088 ketika ditutup pada Rabu, dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.63/7.64 daripada 7.57/7.58.

-- BERNAMA