BERITA TERKINI   Kerajaan akan meneliti pindaan akta tertentu bagi kesalahan curi kabel rel ECRL - Saifuddin Nasution | AKPS perlu dilengkapkan dengan teknologi baharu di pintu masuk negara, pastikan kawalan sempadan pada tahap terbaik - Saifuddin Nasution | Seramai 200 veteran ATM akan sertai AKPS bermula suku pertama tahun ini - Saifuddin Nasution | AKPS bergerak di landasan betul dan cemerlang, KDN beri sokongan penuh - Saifuddin Nasution | Bakar suar: Sultan Selangor zahir rasa amat dukacita insiden babitkan penyokong Selangor FC - Istana Alam Shah | 

Xindeco IoT Rasmi Kemudahan Pembuatan RFID Di Nilai

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Xindeco IoT Malaysia Sdn Bhd merasmikan kemudahan pembuatan Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) termaju di Nilai, Negeri Sembilan, menjadikannya sebagai hab pengeluaran RFID terbesar di Asia Tenggara.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Xindeco IoT berkata pelaburan strategik ini meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap teknologi RFID global.

Kemudahan seluas 30,000 kaki persegi itu yang terletak di Taman Perindustrian Arab Malaysia itu juga mampu menghasilkan satu bilion tag RFID setiap tahun, menurut kenyataan itu.

Ia turut menggabungkan sistem automasi termaju dengan keupayaan pembuatan ketepatan untuk menghasilkan kedua-dua penyelesaian RFID yang standard dan tersuai.

“Pelbagai sektor akan mendapat manfaat daripada penyelesaian ini, termasuk peruncitan, penjagaan kesihatan, logistik dan pengurusan rantaian bekalan di seluruh rantau Asia Pasifik,” kata MIDA dan Xindeco IoT.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan Xindeco IoT ini menunjukkan keyakinan syarikat global terhadap keupayaan teknologi Malaysia dan tenaga kerja mahirnya.

“Kemudahan pembuatan RFID baharu ini mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Ia sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, menyokong matlamat kita untuk menjadi peneraju teknologi serantau,” katanya.

Xindeco IoT ialah anak syarikat gergasi teknologi (teknologi) China Xiamen Xindeco IoT Technology Co Ltd.

-- BERNAMA