BERITA TERKINI   Pulau Pinang salur bantuan i-Sejahtera fasa 1/2026 mulai 7 Feb kepada 281,135 penerima, libatkan RM50.93 juta - Chow | Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | Syarikat perlu menguruskan risiko mata wang secara giat melalui strategi lindung nilai dan perniagaan yang sesuai - Johari Ghani | SPRM akan siasat mana-mana kes jika terdapat petunjuk baharu, walaupun diklasifikasikan tiada kes sebelum ini - Azam Baki | Penggunaan kamera badan oleh anggota penguatkuasa PBT di Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat tahun ini - Hannah | 

MRCB Tarik Diri Daripada Konsortium Diteraju Berjaya Bagi Projek KL-SG HSR

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Konsortium diteraju Berjaya Corporation Bhd, yang menyertai Proses Permintaan Maklumat (RFI) oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) mengumumkan satu daripada rakan kongsinya telah membuat keputusan untuk menarik diri.

Berjaya dalam kenyataan hari ini berkata Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) telah menarik diri dan akan meneruskan peluang strategik lain sekali gus tidak lagi menjadi sebahagian daripada konsortium KL-SG HSR.

“Konsortium ini, termasuk Berjaya Rail Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd, IJM Corporation Bhd dan rakan teknikal seperti Deutsche Bahn, Hitachi Rail dan Hyundai Rotem akan diperkukuhkan lagi untuk lebih sejajar dengan keperluan projek yang semakin berkembang dan memenuhi harapan kerajaan,” katanya.

Konsortium berkenaan dan rakan teknikalnya adalah peneraju yang diiktiraf dalam pembangunan infrastruktur, kejuruteraan dan pengurusan pengangkutan, dengan kepakaran yang terbukti selama beberapa dekad dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar.

Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata kumpulan itu kekal komited dalam misi melaksanakan sistem HSR bertaraf dunia, menyasarkan untuk mentransformasikan kesalinghubungan serantau dan pembangunan ekonomi di Malaysia.

Menurutnya, selain itu ia berhasrat menyumbang kepada peralihan negara ke arah mobiliti hijau menerusi kereta api berkelajuan tinggi.

-- BERNAMA