BERITA TERKINI   Kira-kira 60 peratus kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin lori di Taman Kota Puteri musnah terbakar, tiada mangsa terlibat - Bomba Johor | Malaysia akan perluas pasaran minyak sawit ke negara yang belum pernah jadi pembeli - Johari | Pemeriksaan kesihatan sebahagian komitmen PM untuk pastikan beliau kekal cergas terajui pentadbiran negara - Pengarah Hospital Serdang | PM Anwar jalani pemeriksaan kesihatan tahunan, kesihatan berada dalam keadaan sangat baik - Pengarah Hospital Serdang | Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri serta Labuan sehingga 5 petang ini - MetMalaysia | 

Kaspersky Beri Amaran Tawaran Telegram Premium Palsu Kepada Pengguna

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kaspersky memberi amaran mengenai tawaran Telegram Premium palsu yang tersebar di seluruh dunia dengan tujuan mencuri maklumat akaun atau merosakkan peranti.

Kaspersky dalam satu kenyataan hari ini berkata, penipuan ini menyasarkan pengguna dengan penipuan pancingan data dan perisian hasad yang menyamar sebagai versi alternatif aplikasi.

"Penipuan ini mengambil kesempatan ke atas populariti Telegram Premium dan pemberian hadiah, menjadikannya penting bagi pengguna untuk kekal berwaspada," katanya.

Kaspersky berkata satu daripada helah bermula apabila pengguna menerima mesej; "Anda telah menerima hadiah berupa langganan Telegram Premium," iaitu daripada seseorang dalam senarai kenalan mereka yang akaunnya mungkin sudah digodam.

Jika mangsa mengimbas kod atau memasukkan maklumat akaun mereka, akaun mereka akan segera terjejas iaitu memberikan 'scammer' akses kepada butiran log masuk, kata laluan dan kod pengesahan mangsa.

Selain itu, penyerang juga boleh menggunakan kaedah lain untuk menghantar pautan pancingan data melalui e-mel, atau penjenayah siber mungkin menghantar jemputan kepada mangsa untuk memuat turun arkib zip yang mendakwa mengandungi versi perkhidmatan pemesejan dengan langganan "Premium".

"Pastikan tetapan keselamatan dan privasi Telegram anda dikemas kini dan peranti anda mempunyai penyelesaian keselamatan yang kukuh," kata Pakar Keselamatan Kaspersky, Olga Svistunova. 

Telegram Premium adalah langganan yang menawarkan ciri eksklusif seperti kelajuan muat turun yang lebih pantas, penukaran suara ke teks, pelekat premium, pengalaman tanpa iklan dan banyak lagi.

Kaspersky juga menasihatkan pengguna Telegram untuk menyemak panduannya, memeriksa pautan dengan teliti, mengesahkan pautan daripada kenalan, membeli langganan melalui saluran rasmi dan mengaktifkan pengesahan dua faktor.

-- BERNAMA