BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

BNM Perhalusi Cadangan RBI Untuk Tingkatkan Penggunaan Rupee, Ringgit Dalam Perdagangan

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memperhalusi cadangan Reserve Bank of India (RBI) untuk mewujudkan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) bagi meningkatkan penggunaan ringgit dan rupee India dalam perdagangan dua hala, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Katanya usaha itu dijangka dapat menyokong dan memperkukuhkan pertumbuhan perdagangan dua hala antara Malaysia dan India, seterusnya memperluaskan peluang bagi usahawan dan pelabur di kedua-dua negara.

Kementerian itu memaklumkan pelaksanaan perdagangan dalam rupee India berpotensi memberikan kesan positif kepada perdagangan antara kedua-dua negara berikutan pengurangan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat.

"Secara langsung, ia boleh mengurangkan kos transaksi mata wang asing, yang seterusnya dapat memberikan kesan kepada harga barangan yang lebih kompetitif," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara hari ini.

MITI menjawab soalan Senator Datuk A Kesavadas Nair tentang adakah perdagangan dalam mata wang rupee akan mengurangkan harga kos barangan dan harganya susulan kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke India yang meraih komitmen pelaburan bernilai RM4.5 bilion.

Memetik rekod daripada BNM, MITI berkata pelaksanaan perdagangan dua hala dalam barangan dan perkhidmatan yang diselesaikan dalam ringgit dan rupee meningkat daripada 4.4 peratus pada 2022 kepada 4.8 peratus pada 2023.

Katanya pada 11 Julai, 2022, RBI telah mengeluarkan pekeliling yang menetapkan agar bank-bank di India menyediakan mekanisme bagi invois, pembayaran dan penyelesaian perdagangan dalam rupee. 

"Selaras dengan inisiatif RBI, BNM memaklumkan bahawa perdagangan antara Malaysia dan India boleh diselesaikan dalam rupee dan India International Bank Malaysia (IIBM) merupakan bank pertama di Malaysia yang melaksanakan mekanisme ini melalui pembukaan Akaun Vostro Rupee Khas dengan Union Bank of India di India.

"Lanjutan itu, syarikat-syarikat India juga digalakkan untuk melaksanakan transaksi dalam ringgit melalui Appointed Overseas Offices (AOO) yang dilantik oleh BNM di India," katanya. 

-- BERNAMA