BERITA TERKINI   Kebajikan atlet terjaga sumbang kejayaan kepada bidang sukan negara - PM Anwar | Kerangka perkongsian awam-swasta di bawah RMK-13 akan diperkukuh antaranya sedia perumahan mampu milik, pembangunan semula bandar - Mohd Shahar | Sukan dan olahraga strategi penting angkat martabat rakyat dan negara - PM Anwar | Kerajaan bercadang menstruktur semula sektor pembinaan melalui kajian pembaharuan merangkumi seluruh kitaran hayat projek - Mohd Shahar | Projek selari dengan keutamaan serantau dan menunjukkan pulangan sosial dan alam sekitar yang jelas akan terima sokongan kukuh kerajaan - Mohd Shahar | 

Kerajaan Sentiasa Pastikan Pembangunan Seimbang Rentasi Wilayah, Negeri Termasuk SG4

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan sentiasa berusaha ke arah memastikan pembangunan yang seimbang dilaksanakan merentasi wilayah dan negeri, termasuk negeri-negeri SG4, menurut Kementerian Ekonomi.

Katanya kerajaan memberi jaminan akan terus membangunkan dan menambah baik penyediaan infrastruktur asas yang menyeluruh termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu bagi mencapai keseimbangan wilayah melalui penyediaan Peruntukan Pembangunan yang adil dan saksama.

“Di bawah Rolling Plan 5 Tahun 2025, negeri-negeri tersebut telah diluluskan peruntukan pembangunan asas sebanyak RM7.92 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan di bawah pelbagai kementerian,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia menjawab soalan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang mahu tahu langkah kerajaan bagi memajukan ekonomi negeri-negeri kurang maju seperti negeri-negeri SG4 supaya mereka juga dapat memberi sumbangan yang lebih besar kepada negara.

SG4 atau “State-Government 4” melibatkan negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Menurut Kementerian Ekonomi, selaras dengan strategi yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, usaha untuk menarik pelaburan berkualiti melalui pelaksanaan projek yang mempunyai nilai tambah tinggi dengan pendekatan teknologi, automasi dan inovasi akan terus dipergiat.

Katanya beberapa projek pembangunan utama yang sedang dilaksanakan di negeri-negeri tersebut termasuklah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit, Kedah dan membina jalan baharu Kuala Terengganu Bypass.

Katanya kerajaan juga telah menyediakan peruntukan pembangunan kepada Pihak Berkuasa Koridor pada 2025 seperti Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebanyak RM226.65 juta, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) (RM238.45 juta) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) (RM121.57 juta).

Selain itu, katanya Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) (RM52.82 juta) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) (RM240 juta).

-- BERNAMA