BERITA TERKINI   Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026: Nanm Dinh FC 1-1 JDT | Penularan penyakit Tibi libatkan murid sekolah di Kota Tinggi terkawal, tiada arahan penutupan sekolah setakat ini - Exco Pendidikan Johor | Enam murid sekolah di Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis (Tibi) hasil saringan kontak rapat. - Exco Pendidikan Johor | Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | 

13 Peratus Daripada 477,571 Peminjam AKPK Selesai Sepenuhnya Hutang Lebih RM3.2 Bilion

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Sebanyak 13 peratus daripada 477,571 peminjam Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya menyelesaikan sepenuhnya pinjaman hutang melebihi RM3.2 bilion, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata peminjam ini dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) yang membantu mereka untuk menstrukturkan semula pinjaman sedia ada dan membolehkan peminjam untuk terus membayar balik pinjaman. 

“Selain itu, 51 peratus daripada peserta masih aktif dan menerima bantuan daripada inisiatif ini. Tambahan pula, lima peratus daripada peserta telah menamatkan penyertaan dalam program ini memandangkan mereka telah berkemampuan untuk menyelesaikan hutang mereka tanpa bantuan AKPK,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Noraini Idris berkenaan usaha yang dilaksanakan Kementerian Kewangan menerusi AKPK untuk menyediakan jalan keluar kepada rakyat yang diisytiharkan bankrap.

Amir Hamzah berkata sejak penubuhan AKPK pada 2006, agensi berkenaan telah memberi manfaat kepada hampir 1.4 juta individu menerusi Khidmat Nasihat Kawalselia Kewangan (KNKK) secara percuma.

Beliau berkata, bagi membantu mengurangkan kadar kebankrapan, AKPK dan institusi kewangan telah melaksanakan inisiatif dalam mengeluarkan notis kepada peminjam.

Katanya ia bertujuan mendapatkan bantuan penjadualan semula atau penstrukturan pinjaman sebelum institusi kewangan meneruskan notis kebankrapan.

“Inisiatif ini membantu peminjam untuk mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan atau AKPK, sekali gus mengurangkan kadar kebankrapan,” katanya.

-- BERNAMA