BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

Sime Darby Property Bina Pusat Data Tambahan, Dengan Nilai Pajakan 20 Tahun Sehingga RM5.6 Bilion

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd akan membangunkan pusat data tambahan di Elmina Business Park selepas menandatangani perjanjian bina dan pajakan baharu dengan Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd, dengan nilai pajakan 20 tahun sehingga RM5.6 bilion. 

Menurut kumpulan itu dalam kenyataan di sini hari ini, kemudahan pusat data itu akan dibangunkan untuk memenuhi spesifikasi yang disesuaikan dan keperluan infrastruktur di tapak seluas 31.16 hektar di taman perniagaan tersebut, terletak berhampiran pusat data pertama Pearl Computing, yang kini dalam pembinaan dan disasarkan siap pada awal 2026. 

“Pembangunan infrastruktur di tapak itu kini sedang dijalankan, dengan sasaran siap pembinaan pada 2027. 

“Susulan itu, pihak-pihak berkenaan akan memasuki tempoh pajakan selama 20 tahun dengan pilihan untuk memperbaharui dua tempoh lima tahun tambahan,” katanya. 

Katanya perjanjian itu merealisasikan strategi “Shift25” yang meningkatkan pendapatan berulang dengan ketara dan aset di bawah pengurusan untuk segmen pelaburan dan pengurusan asetnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Azmir Merican berkata kehadiran pusat data ini di taman perniagaan tersebut meningkatkan tarikan Selangor sebagai hab digital utama untuk Malaysia, disokong oleh infrastruktur Selangor yang maju, dasar mesra perniagaan dan usaha kerjasama pihak berkuasa.

Perjanjian ini dibina berdasarkan kerjasama pusat data pertama Sime Darby Property, yang diumumkan pada Mei lepas, menandakan penyertaan kumpulan itu dalam segmen pusat data.

-- BERNAMA