BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

Malaysia Manfaatkan Hubungan Luar Tingkat Ekonomi, Pelaburan Negara - Anwar

PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Malaysia memanfaatkan hubungan luar untuk meningkatkan ekonomi, pelaburan dan mutu pendidikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ketika lawatan kerja beliau ke Peru dan Brazil baru-baru ini banyak permintaan diterima daripada pemimpin dunia, menyatakan minat untuk menemuinya, yang menandakan pengiktirafan terhadap kedudukan Malaysia di arena antarabangsa.

"Tapi kita manfaatkan untuk apa? Untuk ekonomi, pelaburan dan mutu pendidikan. Itu yang penting. Jadi tindakan susulan itu saya dah minta Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan berkenaan selaraskan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perjumpaan bulanan bersama warga JPM, di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perdana Menteri turut berkongsi bahawa prestasi Malaysia dalam memerangi rasuah turut mendapat perhatian Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra yang menyatakan hasrat untuk memanfaatkan pengalaman  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membanteras jenayah itu di negaranya.

Beliau berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said kini mempengerusikan Akademi Antirasuah Antarabangsa selepas SPRM memperoleh prestasi tinggi yang merupakan pengiktirafan baik kepada negara.

Sementara itu hubungan strategik dengan Brazil turut membuka peluang ekonomi apabila Presiden Luiz Inacio Lula da Silva memberi keistimewaan kepada Malaysia, antaranya kepada Petronas untuk menyambung aktiviti cari gali, dan Yinson Holdings Berhad mendapat peluang pelaburan dalam kapal tenaga elektrik terbesar.

-- BERNAMA