BERITA TERKINI   Ringgit diniagakan pada 3.9540 berbanding dolar AS pada rehat tengah hari | Setakat ini, Malaysia belum menerima notis atau pemberitahuan rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk meratifikasi ART - Johari | MITI bersama agensinya, MATRADE dan MIDA dibantu oleh MIDF Research sedang melaksanakan analisis kos-faedah (CBA) bagi ART - Johari | Pelaksanaan projek Loji Janakuasa 120MW di Zon Perindustrian Rancha-Rancha pastikan kecukupan bekalan tenaga elektrik di Labuan - TPM Fadillah | Angka ekonomi positif berjaya memperkukuh kedudukan ringgit - PM Anwar | 

CEO LIAM Mark O’Dell Dipilih Penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Mark O’Dell dipillih sebagai penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup pada majlis Anugerah Industri Insurans Asia 2024.

Majlis itu berlangsung di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands di Singapura.

Dalam kenyataannya hari ini, LIAM berkata anugerah itu mengiktiraf sumbangan dan kerjaya O’Dell selama 44 tahun dalam sektor insurans selain mengetengahkan pimpinannya yang berwawasan, dedikasi selain impak pembaharuan.

Pada masa sama, ini turut menekankan sumbangan penting beliau dalam melonjakkan industri insurans dan kesungguhannya terhadap pembangunan sektor itu.

  O’Dell yang dilantik sebagai CEO LIAM pada 2019, juga berperanan memperkukuh persatuan dengan menyepadukan empat teras strategik -  advokasi, kesedaran dan pendidikan awam, pembangunan industri dan sokongan industri.

Usaha-usaha itu juga berjaya menyatukan 16 syarikat ahli LIAM di bawah satu wawasan yang padu.  

"Menerusi kepimpinan beliau, LIAM mencatat transformasi yang ketara, memperkukuh wawasan dan misinya secara strategik untuk meningkatkan industri insurans hayat di Malaysia.  

"Pendekatan beliau yang berfikiran maju, strategi inovatif serta komitmen kukuh telah meletakkan persatuan sebagai organisasi yang mempunyai reputasi dan berpengaruh selain diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa," kata kenyataan itu.  

Tempoh perkhidmatan O'Dell juga menyaksikan LIAM berada pada kedudukan yang seiring dengan Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022–2026, menumpukan peningkatan usaha penembusan insurans, memastikan insurans perubatan swasta yang berpatutan, memacu transformasi digital dan meningkatkan pembangunan kemahiran. 

Beliau juga mengutamakan usaha menangani perubahan iklim, menambah baik aspek ketelusan produk, melonjakkan pendidikan di pihak pengguna selain memupuk kerjasama awam-swasta bagi mengurangkan risiko besar.

Anugerah Industri Insurans Asia yang juga edisi ke-28 itu meraikan kecemerlangan yang merentasi sektor insurans dan barisan pemenang dipilih oleh panel hakim terkemuka, termasuk pemimpin pasaran serantau dan antarabangsa serta pengawal selia.  

-- BERNAMA