BERITA TERKINI   JIM akan mula mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu dilengkapi 94 ciri keselamatan pada 1 Jun - KP Imigresen | Jumlah pendapatan pelaburan KWSP meningkat 51 peratus kepada RM27.73 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM18.31 bilion sebelum ini | 15 kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia dipintas dan ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat ini - KP SNCC | 10 kapal dijangka tiba berhampiran pantai Gaza dalam tempoh kira-kira sembilan jam jika tidak berdepan gangguan - KP SNCC | 10 kapal kini dalam pelayaran di Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza - KP SNCC | 

PM Anwar Cakna Suara Masyarakat India - Ramanan

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan akan mengusulkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya peruntukan kepada komuniti India ditingkatkan pada tahun depan.

Ramanan berkata ketika ini, beliau sedang mengumpul maklum balas daripada komuniti India mengenai jumlah peruntukan diperlukan bagi program pemerkasaan sosioekonomi komuniti India pada tahun depan.

Menurutnya, tahun ini, peruntukan tambahan (komuniti India) sebanyak RM136 juta yang tiada dalam Belanjawan 2024 diusahakan Ramanan melalui kementerian dengan sokongan dan bantuan daripada Perdana Menteri dan menteri KUSKOP. 

“Kerajaan mendapat maklum balas yang baik daripada komuniti India mengenai peruntukan yang diberikan. Mungkin Perdana Menteri akan meningkatkan peruntukan bagi tahun hadapan.

“Oleh itu, kami sedang mengumpul maklum balas untuk dibentangkan kepada kerajaan dan berharap Perdana Menteri akan mempertimbangkannya susulan arahan beliau untuk memperbanyakkan program keusahawanan komuniti India,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Penasihat Francais (LPF) Bilangan 1/2024 di sini hari ini.

Menurutnya Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar telah memberi peruntukan tambahan RM136 juta secara keseluruhan untuk komuniti India di negara ini dalam tempoh empat bulan lepas yang membuktikan usaha dan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasa kaum India.  

Beliau berkata ini meliputi tambahan RM50 juta bagi Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan RM30 juta untuk Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional. 

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta bagi Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan RM60 juta secara keseluruhan untuk SPUMI serta geran padanan RM6 juta melalui Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP).

-- BERNAMA