BERITA TERKINI   58 ditahan terlibat pertaruhan haram dan judi dalam talian sempena Piala Dunia - Bukit Aman | ASEAN dan Rusia punyai ruang yang luas memperkukuh kerjasama berasaskan hormat, manfaat bersama - PM Anwar | Keamanan berkekalan dicapai menerusi rundingan, persefahaman, menghormati undang-undang antarabangsa - PM Anwar | Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 perkukuh tindakan terhadap tonto, lumba haram - Loke | Rang Undang-Undang (Pindaan) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibentang di Dewan Rakyat Isnin depan -Loke | 

EV : MITI Bekerjasama Dengan Selangor Dan Johor, Pastikan Pengecas DC Di Setiap Daerah

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan Johor bagi memastikan setiap daerah mempunyai kemudahan pengecas pantas arus terus (DC) untuk kenderaan elekrik (EV).

Timbalan Menteri Liew Chin Tong berkata ini merupakan antara langkah bagi mengekalkan sasaran 10,000 stesen pengecasan EV menjelang 2025.

“Kita berharap selepas ujian perintis bersama (kerajaan negeri) Selangor dan Johor, inisiatif ini dapat diperluas ke seluruh negeri (berkenaan) bagi memastikan semua daerah mempunyai kemudahan pengecas DC,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai strategi kerajaan bagi memastikan pembangunan stesen pengecasan EV mencukupi dan seiring dengan peningkatan penggunaan kenderaan itu di Malaysia.

Liew berkata pada masa ini terdapat sebanyak 500 pengecas DC di seluruh negara dan MITI telah meningkatkan sasaran daripada 1,000 kepada 1,500 unit menjelang 2025 berikutan kepentingannya dalam mempercepat proses pengecasan EV.

Selain itu, menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai langkah kerajaan menggalakkan industri tempatan meningkatkan pengeluaran EV bagi memenuhi permintaan tempatan dan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2050, Liew berkata kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menyokong pembangunan ekosistem EV dan industri tempatan.

“Hasilnya, sehingga 30 Sept, 2024, sebanyak 33,319 kenderaan elektriktrifikasi (xEV) termasuk Hybrid, Plug-In Hybrid, BEV, dan FCEV telah dijual yang mewakili 5.11 peratus daripada jumlah jualan tahunan. Selain itu, sebanyak 3,354 petak pengecas telah dipasang sehingga 31 Okt, 2024," katanya.

-- BERNAMA