BERITA TERKINI   Satu daripada 22 kapal misi GSF yang dipintas tentera Israel berjaya dihubungi setakat 7 malam ini - Fahmi | Mahkamah Majistret Tenom perintahkan Ebit Lew membela diri atas 11 tuduhan berkaitan gangguan seksual  | PM Anwar kutuk tindakan ganas rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF, sifatkan ia pelanggaran nyata undang-undang maritim | GSF: Kerajaan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat, pastikan rakyat Malaysia yang ditahan dibebaskan segera - PM Anwar | Ketidaktentuan global bukan bersifat sementara, kerajaan perlu bersedia dengan langkah yang realistik dan mampan - Amir Hamzah | 

UMS Dan Bank Islam Bekerjasama Perkasa Usahawan Komuniti Asnaf

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 21 Nov (Bernama) – Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah memeterai Surat Hasrat (LoI) dengan Bank Islam hari ini untuk menghulurkan bantuan kewangan serta perundingan kepada bakal usahawan dan komuniti asnaf dalam pulau bebas cukai itu.

Dekan FKAL Prof Madya Geoffrey Tanakinjal berkata kerjasama ini menandakan penubuhan Hab Usahawan i-TEKAD, inisiatif bersama antara FKAL serta Bank Islam, yang akan dilancarkan pada November 2024 di UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

“Hab itu dijangka menjadi platform untuk cadangan Labuanpreneur Living Lab, inisiatif keusahawanan kolaboratif melibatkan FKAL, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di pulau ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kemudahan ini akan memusatkan program seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat-Pembasmian Miskin Tegar (IPR-BMT), keusahawanan (asnafpreneur), pembelajaran praktikal asas tani (UniMADANI), Perkhidmatan Pembelajaran Malaysia-Universiti untuk Masyarakat (SULAM), UMS Tech Talent Hub dan Hab Usahawan i-Tekad, menyediakan pusat sehenti bagi pembangunan keusahawanan di bawah satu bumbung di FKAL.

“Inisiatif ini adalah sejajar dengan visi Naib Canselor UMS Prof Datuk Kasim Mansur untuk memupuk komuniti inovatif melalui penubuhan makmal hidup di seluruh Sabah dan Labuan.

“Labuanpreneur Living Lab bertujuan untuk menjadi hab sumber bagi usahawan yang ingin mengembangkan pengetahuan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Kerjasama itu turut mendapat sokongan daripada Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UMS, Prof Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri serta Pengarah UMSKAL Prof Madya Mohd Rizal Abd Hamid, seterusnya memperkasakan lagi usaha mendekati komuniti dan industri FKAL.

-- BERNAMA