BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

Jenama Kecantikan Malaysia Jana Jualan RM27.33 Juta Di Cosmoprof Asia 2024

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Tiga syarikat Malaysia yang menyertai Pavilion Malaysia di Cosmoprof Asia 2024 berjaya memperoleh jualan keseluruhan RM27.33 juta sepanjang acara berkenaan.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam kenyataan, kejayaan itu disumbangkan oleh permintaan kukuh bagi produk kecantikan Malaysia yang berkualiti tinggi dan inovatif di peringkat global.

“Matrade gembira dengan kejayaan Pavilion Malaysia di Cosmoprof Asia 2024.

“Kami akan terus membantu memudahkan penyertaan mereka dalam pameran perdagangan dan menyediakan sokongan untuk menembusi pasaran yang disasarkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Cosmoprof Asia 2024 berlangsung di Hong Kong bermula 13 hingga 15 November ini, dengan Pavilion Malaysia mempamerkan kepelbagaian dan inovasi industri kecantikan Malaysia untuk pasaran global.

Ia termasuk penyelesaian kecantikan secara organik dan semula jadi, pilihan penjagaan kulit diperakui halal dan produk kosmetik lain yang terkini.

Selain itu, Matrade turut menekankan kepentingan strategik Hong Kong dalam penjenamaan produk kecantikan keluaran Malaysia.

Katanya sebagai rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia bagi produk kosmetik dan minyak wangi, dengan jumlah dagangan melebihi RM94 juta, pasaran Hong Kong berpotensi untuk berkembang dengan pesat.

“Hong Kong menyediakan platform yang sesuai untuk jenama Malaysia bagi menguji pilihan pelanggan dan memperoleh maklumat mengenai pasaran.

“Dengan menyertai Cosmoprof Asia 2024, kesemua syarikat ini boleh memanfaatkan lokasi strategik Hong Kong sebagai batu loncatan untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran China dan rantau Asia Timur,” katanya. 

-- BERNAMA