BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

Hubungan Perdagangan Kukuh Malaysia-UAE Sokong Permintaan Produk Halal Di Rantau MENA

Daripada Zarul Effendi Razali

DUBAI, 18 Nov (Bernama) -- Hubungan perdagangan kukuh antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam industri halal telah menyokong permintaan dan memupuk kepercayaan yang tinggi terhadap produk halal premium Malaysia di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia telah membangunkan sistem pensijilan halal yang komprehensif dan dipercayai di peringkat global melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan pensijilan halal negara diiktiraf di peringkat antarabangsa, dengan 88 badan pensijilan di seluruh dunia menyokongnya.

“Malaysia juga telah membina ekosistem halal yang kukuh dan matang, secara konsisten berada di kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi kami terhadap standard tinggi, kualiti dan integriti, yang menyokong kepimpinan dan komitmen Malaysia untuk memajukan sektor halal global,” katanya dalam ucapan perasmian beliau di acara MIHAS@Dubai 2024, hari ini.

Ahmad Zahid berkata pada 2023 Malaysia merekodkan eksport halal bernilai RM55 bilion (US$12.5 bilion) dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) memainkan peranan penting dalam membuka potensi yang lebih besar untuk industri tersebut.

Menurutnya, UAE muncul sebagai destinasi utama produk halal Malaysia dalam kalangan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), mencatatkan import bernilai RM1.13 bilion (US$256 juta).

Tahun ini, dengan MIHAS@Dubai, Ahmad Zahid berkata kerajaan menyasar mencapai sasaran jualan eksport sebanyak RM1 bilion (US$250 juta) menunjukkan keyakinan permintaan tinggi terhadap produk halal Malaysia.

“Selama dua dekad, MIHAS telah menjadi platform yang banyak membantu kejayaan perniagaan halal, daripada perusahaan kecil hingga syarikat besar. Dengan penganjuran MIHAS di Dubai, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengukuhkan hubungan Malaysia dengan Timur Tengah dan melangkaui darinya.

“Ini bukan sekadar menunjukkan komitmen kami; ia adalah janji untuk terus membina ekosistem halal yang teguh dan inklusif,” katanya.

Melalui komitmen terhadap Diplomasi Halal, Ahmad Zahid berkata Malaysia berusaha untuk mengukuhkan hubungan antarabangsa, mewujudkan ekosistem halal yang dinamik dan menjalin perkongsian strategik yang akan menggerakkan matlamat bersama.

“Marilah kita melihat MIHAS@Dubai bukan sahaja sebagai pameran perdagangan tetapi sebagai platform untuk membina perkongsian yang berkekalan.

“Secara bersama-sama, kita boleh mengukuhkan komuniti halal global, memberi manfaat kepada perniagaan, masyarakat, dan generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA