BERITA TERKINI   NAIO sedang membangunkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 untuk menetapkan hala tuju penggunaan AI yang bertanggungjawab dan inovatif pada masa depan -- Gobind Singh | Mohamad Sabu terima rawatan rutin di IJN, keadaan stabil dan dinasihatkan berehat kerana terdapat simptom keletihan - Pejabat Menteri | SPR ambil maklum pembubaran DUN Sabah, mesyuarat khas akan diadakan bincang tarikh penting PRN | Kerajaan optimis sektor inap desa jana pendapatan sehingga RM200 juta pada 2026, tarik lima juta pelancong menjelang 2030 - Ahmad Zahid | Kerajaan mahu inap desa jadi kebanggaan, simbol hospitaliti negara di mata dunia pada Tahun Melawat Malaysia 2026 - Ahmad Zahid | 

Niaga Hadapan Emas Didagangkan Berhati-hati Minggu Depan

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives mungkin didagangkan secara berhati-hati minggu depan berikutan kenaikan dolar US baru-baru ini, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata peniaga akan memantau dengan teliti sentimen pasaran selepas kejatuhan harga emas minggu ini, dengan menjangkakan pemotongan kadar Rizab Persekutuan AS yang lebih perlahan, telah menyokong kekuatan dolar US.

"Buat masa sekarang, kami melihat ke arah sebarang kemungkinan, dengan harga minggu depan dijangka bergerak antara US$2,540 hingga US$2,585. Pasaran emas mungkin bersiap sedia bagi menghadapi pergolakan dan ia masih jauh dari keuntungan," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan emas kebanyakannya didagangkan lebih rendah di tengah-tengah kemerosotan permintaan serta sentimen yang kurang bermaya, menjejaki pergerakan dalam pasaran emas COMEX AS.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta November 2024 mengakhiri minggu ini lebih rendah pada US$2,572.30 setiap auns troy daripada US$2,692.70 setiap auns troy yang dicatatkan pada minggu lepas.

Sementara itu, Disember 2024, Januari 2025, Februari 2025 dan April 2025 turut ditutup lebih rendah pada US$2,585.80 setiap auns troy berbanding U$2,705.60 pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan mengecil kepada 45 lot daripada 82 lot, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 36 kontrak daripada 31 kontrak sebelum ini.

Berdasarkan penetapan petang London Bullion Market Association pada 14 Nov, harga emas fizikal berada pada US$2,567.30 setiap auns troy .

-- BERNAMA