BERITA TERKINI   Tan Sri Dr Azmi Rohani dilantik Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara berkuatkuasa 1 Julai ini - KSN | Jenazah isteri Premier Sarawak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Samariang, Kuching pada 1.52 tengah hari | Lapangan terbang itu akan memberikan maklumat terkini selepas landasan diisytiharkan selamat dan dibuka untuk operasi penerbangan oleh CAAM - Malaysia Airports | Penutupan itu dijangka berterusan sehingga 3.00 petang ini, menjejaskan semua operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching - Malaysia Airports | Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kini ditutup untuk memudahkan pemindahan sebuah pesawat TUDM dan kerja-kerja pembersihan landasan susulan insiden berkaitan pesawat pada 11.30 pagi ini - Malaysia Airports | 

MNZFTA : Sektor Digital, Halal Antara Potensi Kerjasama Perdagangan Malaysia, New Zealand

LIMA (Peru), 15 Nov (Bernama) -- Kajian skop bagi memperkukuh Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand (MNZFTA), bakal meliputi bidang kerjasama baharu seperti perdagangan digital dan pengiktirafan halal, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau yang kini di Peru bagi mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31, telah bertemu dengan Menteri Perdagangan New Zealand Todd McClay bagi membincangkan peluang memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Dalam catatan di platform X beliau pada Jumaat, Tengku Zafrul yakin kerjasama erat kedua-dua negara itu akan membuka peluang baharu untuk rakyat masing-masing selain memperkukuh daya saing ekonomi serantau.

“Menerusi hubungan perdagangan dua hala yang kukuh, New Zealand juga merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Australasia dengan nilai perdagangan mencecah US$2.54 bilion pada 2023,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Malaysia dan New Zealand turut menyasarkan peningkatan sebanyak 50 peratus dalam perdagangan dua hala menjelang 2030, terutama dalam sektor pembuatan bernilai tinggi dan ekonomi digital.

-- BERNAMA