BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

Petronas Buat Pelaburan Baharu Bernilai RM7.5 Bilion Di Kompleks Bersepadu Pengerang

JOHOR BAHRU, 14 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) membuat pelaburan baharu bernilai RM7.5 bilion di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Kota Tinggi, Johor. 

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelaburan berkenaan termasuk melaksanakan projek tenaga solar 40 megawatt iaitu kerjasama di antara Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) dengan LG Chemical bagi pengeluaran lateks nitril butadiena (NBL) dan loji kitar semula bahan kimia tercanggih untuk plastik.

Selain itu, kata Onn Hafiz Petronas turut merancang pembinaan kilang penapisan bio yang dijangka beroperasi pada 2028.

Beliau berkata pelbagai perancangan pembangunan dirangka di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang berkeluasan kira-kira 9,268.9 hektar dan ia akan dibangunkan dalam empat fasa untuk mewujudkan rantaian minyak dan gas hiliran di Johor iaitu sejak tahun 2012 sehingga 2037.

“Syukur alhamdulillah, saya berpeluang berjumpa dengan pengurusan Petronas bagi membincangkan mengenai kemajuan terkini di PIC. Saya juga dimaklumkan PIC menyelesaikan Ujian Prestasi Terpadu (PTR) untuk 54 loji mereka. 

“Semoga segala pembangunan ini memberi limpahan ekonomi serta menarik pelabur-pelabur baharu, supaya hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030 tercapai. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

PIC terletak di dalam PIPC, sebuah pembangunan perindustrian di bawah bidang kuasa Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC) iaitu sebuah agensi kerajaan yang diberi mandat untuk menyelaras, memudahkan dan menggalakkan pembangunan minyak dan gas hiliran industri di Johor.

-- BERNAMA