BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Jualan Kenderaan Baharu Oktober Malaysia Susut Empat Peratus -- MAA

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Jualan kenderaan baharu Malaysia susut empat peratus kepada 69,859 unit pada Oktober 2024 berbanding 76,173 unit yang dicatatkan semasa bulan yang sama tahun sebelum ini, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Bagaimanapun, persatuan itu berkata jumlah volum industri Oktober (TIV) ) adalah 20 peratus lebih tinggi daripada TIV September 2024 sebanyak 58,032 unit. 

"Peningkatan TIV ini didorong oleh kempen promosi bulan bekerja dan akhir tahun yang lebih panjang oleh syarikat kereta," kata MAA dalam satu kenyataan hari ini.

MAA berkongsi bahawa 64,322 unit kenderaan penumpang (PV) telah dijual pada Oktober, penurunan sebanyak enam peratus daripada 68,721 unit pada bulan yang sama tahun lalu, manakala jualan kenderaan komersial (CV) melemah 26 peratus dari tahun ke tahun kepada 5,537 unit daripada 7,452 unit.

Untuk volum jualan bagi 10 bulan pertama 2024, ia meningkat 2.4 peratus, mencecah 664,002 unit berbanding 648,130 unit yang disaksikan dalam tempoh yang sama pada 2023, katanya.

TIV untuk PV menokok lima peratus kepada 608,225 unit, manakala TIV bagi CV merosot 16 peratus kepada 55,777 unit.

MAA ketika mengulas mengenai pengeluaran berkata sebanyak 71,196 kenderaan telah dikeluarkan pada Oktober 2024, empat peratus lebih rendah daripada 74,191 unit pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 Ini termasuk 66,906 PV, turun empat peratus daripada 69,475 unit pada Oktober 2023 dan 4,290 CV, berkurangan sebanyak sembilan peratus daripada 4,716 unit.

Pengeluaran setakat ini berjumlah 664,246 unit, bertambah empat peratus daripada 640,633 unit yang dikeluarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata MAA.

Daripada jumlah itu, 626,364 unit adalah PV, melonjak  empat peratus dari tahun ke tahun manakala baki 37,882 unit adalah CV, turun enam peratus dari tahun ke tahun.

Melihat ke hadapan, MAA menjangkakan momentum jualan akan berterusan memasuki November 2024, meramalkan jualan lebih tinggi berbanding Oktober.

-- BERNAMA