BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

BMI Kekalkan Unjuran Harga Minyak Mentah Brent US$81 Setong Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- BMI yang juga unit Fitch Solutions, mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent pada US$81 setong tahun ini dan susut ke paras US$78 setong pada 2025.

Dalam kenyataannya hari ini, BMI berkata trajektori harga pada 2025 banyak dipengaruhi oleh tiga faktor utama -- dasar Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+), keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) dan konflik di Timur Tengah.

Harga minyak mengalami tekanan ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini, susut daripada kemuncak lebih US$87 setong pada suku ketiga tahun ini kepada kurang US$72 setong ketika ini.

BMI bagaimanapun menjangkakan penurunan harga itu tidak mencecah tahap asas.

"Maklumat data kami menunjukkan pasaran kekal seimbang dalam tempoh ini dengan penunjuk kekerapan turut memberi isyarat sama.

“Penurunan itu juga lebih bersifat spekulatif apabila penggiat pasaran mula menetapkan harga dalam jangkaan berlakunya lebihan bekalan pada tahun depan," katanya.

Pemacu utama tindakan berkaitan harga minyak pada tahun depan adalah dasar OPEC+ susulan rancangan pertubuhan itu meningkatkan semula bekalan minyak yang dikurangkan ke pasaran pada tahun berkenaan.

“Ini juga seiring dengan unjuran kami yang menyaksikan OPEC+ bertindak meneruskan pengurangan bekalan itu ke tahun baharu dalam usaha menyokong harga. Sebarang tindakan pelanjutan seterusnya adalah penting dalam membendung berlakunya lebihan bekalan yang dijangkakan dalam pasaran," katanya.

 BMI turut mengingatkan risiko besar terhadap andaian OPEC+ sekiranya ia memilih untuk melanjutkan usaha itu ke separuh kedua 2025 atau meningkatkan lagi pengurangan itu jika diperlukan pasaran.

"Oleh kerana andaian itu tidak mungkin berlaku kecuali harga lemah, risiko kenaikan bagi unjuran kami ke atas Brent adalah terhad," katanya.

Pada masa sama, BMI juga menyifatkan impak kemenangan Donald Trump sebagai presiden AS terhadap pasaran minyak juga berkemungkinan agak terhad. 

Menurutnya, walaupun Trump berkemungkinan menyokong sektor minyak dan gas domestik yang tidak melibatkan kelonggaran dasar, keadaan ini dijangka tidak mempengaruhi paras pertumbuhan pengeluaran AS dalam masa terdekat.

Kemenangan Trump juga memberi impak di rantau Timur Tengah walaupun keadaan kekal tidak menentu dari segi sejauh mana penglibatan AS dapat mengubah konflik serta situasi di kawasan terbabit.

 “Pandangan asas kami kekal bahawa konflik di Gaza dan Lubnan akan berakhir pada separuh pertama 2025...usaha menamatkan tindakan ketenteraan itu adalah keutamaan Trump. Ini sekali gus akan melenyapkan impak risiko berkaitan konflik dan paras sokongan bagi harga minyak mentah,” katanya.

-- BERNAMA