BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Syarikat Awam Tersenarai Papar Kemajuan Guna Amalan Terbaik MCCG - SC

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Syarikat awam tersenarai (PLC) Malaysia memaparkan kemajuan dalam penggunaan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), demikian menurut laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) 2024.

Laporan CG Monitor yang dikeluarkan hari ini, menilai penggunaan amalan terbaik MCCG berdasarkan laporan Tadbir Urus Korporat dikeluarkan PLC bagi untuk tahun kewangan berakhir 2022 dan 2023.

SC berkata sebanyak 30 daripada 48 amalan terbaik merekodkan tahap penggunaan melebihi 90 peratus yang mencerminkan komitmen sebilangan besar PLC terhadap tadbir urus korporat yang mantap. 

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata usaha ini menekankan kepentingan tadbir urus korporat dalam memacu pasaran yang berdaya tahan.

“Syarikat harus menyelaraskan tadbir urus mereka dengan keutamaan strategik menyepadukan kemampanan, meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan dan memperbaharui kepimpinan untuk kekal tangkas,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohammad Faiz berkata sejajar usaha Malaysia ke arah ekonomi lebih inklusif dan mampan, SC akan terus menyokong syarikat dalam menggunapakai amalan yang memberi nilai jangka panjang untuk pihak perniagaan dan komuniti lebih luas.

Laporan 2024 itu bagaimanapun menggariskan tiga bidang kritikal yang memerlukan penambahbaikan lanjut - pembaharuan komposisi lembaga pengarah, meningkatkan penyertaan pemegang saham melalui mesyuarat agung tahunan (AGM) secara fizikal/hibrid dan penyepaduan yang lebih mendalam bagi amalan tadbir urus kemampanan.

Dokumen itu turut menunjukkan hanya 18 peratus PLC menerima pakai had tempoh sembilan tahun untuk Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, sekali gus menekankan keperluan bagi PLC mengambil langkah lebih proaktif dalam menyegarkan komposisi lembaga.

Pengekalan pengarah yang lama berkhidmat iaitu sehingga 12 tahun melalui proses pengundian dua peringkat, pula kekal berleluasa.

“PLC digalakkan untuk memanfaatkan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) dengan Pejabat Pendaftaran Pengarahnya kini menyenaraikan 1,007 individu yang bersedia untuk berkhidmat dalam lembaga pengarah.

“Ini menawarkan PLC sekumpulan calon yang layak dan mempunyai perspektif baharu, memastikan lembaga pengarah kekal dinamik dan mampu menangani cabaran tadbir urus yang berkembang,” katanya.

Laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat SC 2024 itu turut mendapati lebih 50 peratus PLC terus mengadakan AGM secara maya atau hibrid pada tahun ini.

Namun, seperti pengumuman SC pada 1 Ogos lepas, semua PLC mesti mengadakan mesyuarat agung secara fizikal atau hibrid mulai 1 Mac, 2025 dan peralihan ini dijangka meningkatkan penglibatan pemegang saham, membolehkan penyertaan dan interaksi lebih bermakna pada mesyuarat berkenaan. 

Selain itu, laporan berkenaan turut menunjukkan tadbir urus kemampanan mencatat peningkatan ketara dengan lebih 96 peratus daripada PLC kini menerima pakai amalan yang menumpukan pengawasan lembaga dan pengurusan terhadap isu kemampanan, termasuk komunikasi lebih jelas mengenai strategi dan sasaran kemampanan.

-- BERNAMA