BERITA TERKINI   MRL laksana langkah keselamatan di tapak projek ECRL, elak kes kecurian kabel - Loke | Jemaah Menteri lulus cadangan menjadikan CAAM sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan, berkuat kuasa 1 Ogos ini - Loke | KDN akan siasat isu kesilapan infografik Ketua Polis Negara- Saifuddin Nasution | KPN Mohd Khalid tegaskan tidak pernah terlibat dalam mana-mana parti politik selama 38 tahun dalam PDRM - Saifuddin Nasution | Isteri kepada Premier Sarawak meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching, 3.34 pagi ini - Datuk Abdullah Saidol | 

Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Mod Berhati-hati Berbanding Dolar AS Minggu Depan

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam mod berhati-hati minggu depan menjelang pilihan raya Presiden AS pada 5 Nov, 2024, kata seorang penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata peniaga menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada Donald Trump, dan ini menunjukkan trajektori berpotensi menurun bagi ringgit, ke paras 4.50 berbanding dolar AS.

“Sebaliknya, kemenangan Kamala Harris boleh melonjakkan ringgit kerana Rizab Persekutuan AS berkemungkinan akan memperkenalkan semula pemotongan kadar faedah. 

"Bagi ringgit, sukar mahu menjangkakan prestasinya dalam persekitaran pilihan raya ini. Malaysia telah menunjukkan daya tahan hasil eksport dan pelaburan yang kukuh, namun prospek 2025 sangat bergantung kepada keputusan pilihan raya AS,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding dolar AS pada minggu yang baru berakhir, terutamanya didorong oleh ketidaktentuan mengenai keputusan pilihan raya presiden AS.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.3780/3835 daripada 4.3405/3450 seminggu lepas.

Ia juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding euro, ditutup pada 5.6502/6573 pada Jumaat daripada 4.6977/7026 seminggu sebelumnya, tetapi merosot berbanding pound Britain kepada 5.6502/6573 daripada 5.6348/6407 dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.8652/8690 daripada 2.8554/8586 sebelum ini.

Sementara itu, ringgit juga merosot berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.44/7.45 pada akhir minggu lepas dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9103/9322 daripada 12.8425/8619 sebelumnya.

Ringgit turut susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3054/3098 daripada 3.2870/2907 minggu lepas dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 278.2/278.7 daripada 277.3/277.8 sebelumnya.

-- BERNAMA