BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | 

IPO Mega Fortris Yang Bakal Disenaraikan Di Pasaran Utama Terlebih Langgan 7.18 Kali

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) Mega Fortris Bhd terlebih langgan sebanyak 7.18 kali, menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities).

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia menerima sejumlah 9,263 permohonan untuk 345.76 juta saham terbitan bernilai RM231.66 juta bagi 42.25 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia.

“Bagi bahagian Bumiputera, 2,330 permohonan untuk 75.55 juta saham terbitan diterima, merupakan kadar lebihan langgan keseluruhan sebanyak 2.58 kali.

"Bagi bahagian bukan Bumiputera pula, sebanyak 6,933 permohonan untuk 270.21 juta saham terbitan telah diterima, yang merupakan kadar lebihan langgan sebanyak 11.79 kali ganda," katanya.

Mega Fortris juga berkata 25.35 juta saham terbitan yang disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu layak yang menyumbang kepada kejayaan syarikat telah dilanggan sepenuhnya.

Selain itu, tawaran institusi kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dan pelabur institusi dan terpilih melalui tawaran saham persendirian terdiri daripada 80.27 saham terbitan dan 147.87 juta saham tawaran telah dikeluarkan sepenuhnya.

"Notis peruntukan akan dimaklumkan kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 7 Nov 2024," katanya.

Mega Fortris, terlibat terutamanya dalam reka bentuk, pembuatan dan dagangan kedap keselamatan serta produk berkaitan, dijadual disenaraikan di Bursa Securities pada 11 Nov, 2024.

RHB Investment Bank Bhd ialah penasihat utama tunggal, penaja jamin bersama dan ejen tawaran saham bersama untuk IPO, manakala AmInvestment Bank Bhd merupakan penaja jamin bersama dan ejen tawaran saham bersama.

-- BERNAMA