BERITA TERKINI   Penerbitan bon lestari dijangka meningkat susulan pertumbuhan pesat pusat data – Moody’s Ratings | Peralihan MyBorderPass dan MyDigitalID kepada sistem MyNIISe akan diperluas secara berperingkat di pintu masuk negara bermula tahun ini - Saifuddin Nasution | Pendaftaran murid Tahun 1 bagi sesi 2027 dilaksana secara dalam talian bermula 15 Feb hingga 31 Mac - KP Pendidikan | Pimpinan tinggi agensi penguatkuasaan diberi tempoh seminggu nyata kesediaan pikul amanah atau tukar ke jawatan lain - PM Anwar | PM Anwar beri amaran keras kepada pihak berkuasa, kesal masih wujud kelemahan tatakelola dalam negara | 

MITI Akan Terus Berbincang Dengan Pihak Berkuasa AS Berhubung Kenaikan Tarif Eksport Solar

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membantu pengilang solar Malaysia dan syarikat berkaitan yang terjejas oleh kenaikan tarif eksport solar Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai langkah Washington itu.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tarif yang lebih tinggi itu telah menjejaskan banyak barisan pengeluaran syarikat solar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga pengilang di Thailand, Kemboja dan Vietnam.

"Jadi kami kini membantu syarikat terbabit dengan mendapatkan lebih banyak maklumat dan kemudian mengadakan libat urus dengan Jabatan Perdagangan AS untuk melihat bagaimana kami boleh menyokong syarikat ini," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai Pengerusian ASEAN oleh Malaysia (Tonggak Ekonomi) di kementeriannya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Jabatan Perdagangan AS menaikkan duti peralatan solar yang dieksport oleh Kemboja, Malaysia, Thailand dan Vietnam, berikutan penemuan awal subsidi kerajaan yang tidak adil yang digunakan untuk menghasilkan peralatan solar dijual oleh syarikat di empat negara tersebut.

Washington merancang untuk menaikkan tarif import AS ke atas sel solar dan panel China daripada 25 peratus kepada 50 peratus, berhubung dakwaan amalan perniagaan China yang tidak adil.

-- BERNAMA