BERITA TERKINI   Keputusan peperiksaan STAM diumum 5 Feb - KPM  | Bangunan warisan mesti terus hidup sebagai ruang mendidik, menyatukan dan beri inspirasi untuk generasi masa hadapan - PM Anwar | 3,164 sekolah diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid setakat November tahun lepas - Timbalan Menteri Pendidikan | Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pastikan sejarah terus hidup, difahami dan jadi pedoman hadapi cabaran masa depan - PM Anwar | Agong berkenan sempurnakan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 | 

Pelabur Institusi Tempatan Pembeli Bersih Ekuiti Bernilai RM244.6 Juta Di Bursa Malaysia Minggu Lepas

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih ekuiti berjumlah RM244.6 juta di Bursa Malaysia minggu lepas selepas jualan bersih dalam masa yang singkat pada minggu sebelumnya.

Menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF) dalam laporan aliran dana pada minggu berakhir 25 Oktober, pelabur runcit tempatan meneruskan jualan bersih ekuiti berjumlah RM48.4 juta minggu lepas.

"Pelabur runcit tempatan dan pelabur institusi menyaksikan peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV), masing-masing sebanyak 2.2 peratus dan 1.8 peratus," katanya.

Sementara itu, pelabur asing kembali dengan pendirian jualannya, selepas melakukan jualan bersih ekuiti berjumlah RM196.2 juta di Bursa Malaysia.

“Mereka hanya menjadi pembeli bersih pada Isnin dan Selasa, masing-masing bernilai RM39.1 juta dan RM107.6 juta, tetapi sebagai penjual bersih dari Rabu hingga Jumaat.

"Aliran keluar bersih terbesar berlaku pada Khamis, berjumlah RM230.3 juta," katanya.

MIDF berkata sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi adalah pembinaan (RM86.5 juta), perkhidmatan kewangan (RM85.7 juta) dan penjagaan kesihatan (RM53.0 juta).

Sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah utiliti (RM266.9 juta), teknologi (RM50.9 juta) serta telekomunikasi dan media (RM45.7 juta).

“ADTV menunjukkan penurunan dalam kalangan pelabur asing berjumlah 19.6 peratus,” katanya.

Di peringkat serantau, MIDF melaporkan aliran keluar dana asing dari Asia yang ketara, berterusan sehingga minggu keempat, berjumlah US$1.24 bilion.

"Daripada lapan negara yang kami jejaki, hanya Taiwan mencatat aliran masuk asing bersih manakala selebihnya menyaksikan aliran keluar asing bersih," katanya sambil memaklumkan pelabur asing melakukan belian bersih ekuiti bernilai US$869.0 juta di Taiwan minggu lepas.

-- BERNAMA