BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

Ringgit Ditutup Tinggi Susulan Permintaan Merosot Terhadap Dolar AS

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum positifnya untuk ditutup tinggi hari ini berbanding dolar AS susulan permintaan merosot terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu. 

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.3405/3450 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3455/3510 pada Khamis.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran terus terkawal ketika dunia bersiap sedia menunggu pilihan raya presiden AS dalam tempoh kurang daripada dua minggu lagi.

"Persaingan antara Kamala Harris (calon Parti Demokrat) dan Donald Trump (calon Parti Republikan) sangat sengit, terutamanya di negeri-negeri yang menjadi penentu penting kepada keputusan pilihan raya," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8554/8586 daripada 2.8589/8627 pada Khamis tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.6348/6407 daripada 5.6331/6402 dan turun berbanding euro kepada 4.6977/7026 daripada 4.6918/6978 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.44/7.45 daripada 7.49/7.51 pada Khamis dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2870/2907 daripada 3.2928/2972.

Ringgit juga naik berbanding rupiah Indonesia kepada 277.3/277.8 daripada paras penutup 278.8/279.3 pada Khamis dan menokok berbanding baht Thai kepada 12.8425/8619 daripada 12.9031/9259.

-- BERNAMA