BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | 

JBIC Komited Sokong MITI Tarik Pelaburan Berkualiti Tinggi Dari Jepun - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Japan Bank for International Cooperation (JBIC) komited untuk menyokong Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi dari Jepun, terutama dalam sektor tenaga lestari dan pembangunan industri berteknologi tinggi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelaburan berkualiti tinggi berkenaan akan membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Kerjasama erat dengan JBIC akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat pelaburan serantau untuk teknologi hijau dan infrastruktur digital. 

“Langkah ini selari dengan matlamat Belanjawan 2025 untuk memacu inovasi dan kemampanan, sekali gus memberi manfaat besar kepada rakyat dan ekonomi negara," katanya dalam satu hantaran di platform media sosial X hari ini.

Tengku Zafrul berkata beliau juga telah bertemu dengan delegasi JBIC yang diketuai oleh Pengerusi JBIC dan Penasihat Khas kepada Kerajaan Jepun Tadashi Maeda di sini, hari ini.

Antara perbincangan itu termasuk peluang strategik dalam bidang seperti tenaga hijau, teknologi digital, dan semikonduktor yang menjadi fokus utama di bawah inisiatif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS), kata beliau.

-- BERNAMA