BERITA TERKINI   Keputusan peperiksaan STAM diumum 5 Feb - KPM  | Bangunan warisan mesti terus hidup sebagai ruang mendidik, menyatukan dan beri inspirasi untuk generasi masa hadapan - PM Anwar | 3,164 sekolah diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid setakat November tahun lepas - Timbalan Menteri Pendidikan | Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pastikan sejarah terus hidup, difahami dan jadi pedoman hadapi cabaran masa depan - PM Anwar | Agong berkenan sempurnakan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 | 

Kerjaya Prospek Group Raih Dua Kontrak Bernilai RM34.43 Juta

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd (Kerjaya) meraih dua kontrak bernilai RM34.43 juta daripada anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Property Bhd (KPPB), syarikat milik pengarah dan pemegang saham utama tertentu Kerjaya.

Menurut kumpulan pembinaan itu anak syarikatnya Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM) semalam menerima surat lantikan bernilai RM18.45 juta daripada Greencove Sdn Bhd dan surat lantikan bernilai RM15.98 juta daripada Pixel Valley Sdn Bhd.

Dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia hari ini, Kerjaya berkata kontrak pertama adalah berkaitan pembersihan tapak, kerja-kerja tanah, cerucuk dan kerja-kerja struktur berkaitan bagi cadangan pembangunan di Damansara Damai, Selangor.

Menurutnya kontrak kedua melibatkan kerja-kerja cerucuk dan tukup cerucuk bagi cadangan pembangunan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kedua-dua kontrak yang bermula pada 5 Nov 2024, akan disiapkan dalam tempoh 18 bulan daripada tarikh bermula.

Penerimaan kontrak ini adalah rutin perniagaan KPM dan dilaksanakan berdasarkan berdasarkan syarat-syarat komersial biasa, katanya.

"Selain itu, kontrak berkenaan dijangka menyediakan aliran perolehan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Tee Eng Tiong dalam kenyataan berkata kumpulan itu gembira menerima kedua-dua kontrak ini, yang menggambarkan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan pembinaan yang berkualiti tinggi.

“Berikutan sebanyak 10 kontrak yang diraih setakat ini pada tahun ini berjumlah RM1.6 bilion, nilai perolehan kontrak yang belum selesai pada masa ini mencapai RM4.5 bilion.

"Kami berharap dapat mengukuhkan lagi kedudukan kami di pasaran dan memberi sumbangan ketara kepada kejayaan pembangunan ini," katanya.

Pengerusi Kerjaya Datuk Seri Tee Eng Ho adalah pemegang saham utama Kerjaya dan KPPB berdasarkan kepentingan beliau dalam kedua-dua syarikat menerusi syarikat, dengan beliau dan isteri Datin Seri Toh Siew Chuon dan abangnya Datuk Tee Eng Seng mempunyai kepentingan langsung.

Toh juga adalah Pengerusi Eksekutif KPPB manakala Eng Seng sebagai Pengarah Eksekutif.

-- BERNAMA