BERITA TERKINI   Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun bentang Belanjawan Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion | Sukan SEA 2025: Gimnas negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam menang pingat emas acara melombol lelaki | Sukan SEA 2025: Malaysia raih pingat emas keenam menerusi atlet karate wanita negara C.Shahmalarani dalam acara kumite wanita bawah 50 kilogram | 

Belanjawan 2025 Beri Sokongan Padu Terhadap Sektor Semikonduktor - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 memperuntukkan dana yang besar, fiskal dan bukan fiskal, bagi memastikan kejayaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata antara inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan tersebut ialah dana kedaulatan bernilai RM1 bilion untuk sektor elektrik dan elektronik serta aktiviti bernilai tinggi dan dana latihan yang diperuntukkan untuk beberapa universiti.

Selain itu, katanya, terdapat inisiatif untuk menyokong syarikat peringkat pertengahan serta insentif cukai untuk syarikat dalam industri.

“Saya fikir kita berada di landasan yang betul (untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam NIMP 2030). Anda juga telah melihat eksport terus berkembang dalam sektor ini.

“Dan sekiranya anda melihat kad laporan kami yang baru diumumkan semalam untuk NIMP 2030, kita sepatutnya dapat melihat pertumbuhan positif pada akhir tahun ini dan pertumbuhan dalam sektor pembuatan telah menyumbang hampir lima peratus kepada peningkatan dalam keluaran dalam negara kasar kita tahun ini,” katanya semasa temu bual bersama CNBC Asia Squawk Box, hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai mengulas tentang kemajuan NSS dan NIMP susulan pengumuman Belanjawan 2025 pada Jumaat lepas.

Ketika ditanya bagaimana cukai baharu yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 akan membantu membiayai peruntukan belanjawan yang lebih besar iaitu RM421 bilion, beliau berkata, selain daripada cukai ke atas dividen serta skop cukai jualan dan perkhidmatan yang lebih meluas, penekanan diberikan kepada disiplin kos, contohnya, melalui penggabungan beberapa agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

“Ya, saya cukup yakin kita akan menepati anggaran belanjawan. Kita telah mencapai sasaran defisit kita, sebagai contoh, dan saya harap kita akan dapat mencapainya (sasaran fiskal) tahun 2024 juga,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan meneruskan inisiatif untuk memacu perdagangan dan pelaburan bagi merangsang pertumbuhan negara.

-- BERNAMA