BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

MIDF Research Kekalkan Unjuran KDNK 2024 Pada 5.0 Peratus 

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 pada 5.0 peratus yang disokong oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan domestik dan berlaku pemulihan dalam eksport.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata berdasarkan anggaran awal, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun bagi suku ketiga 2024 yang mengekalkan pertumbuhan melebihi 5.0 peratus dalam tempoh dua suku berturut-turut.

"Pertumbuhan ini secara amnya seiring dengan jangkaan kami, walaupun kadar pertumbuhannya sedikit lebih tinggi daripada anggaran, berikutan kami menyedari pengembangan yang lebih perlahan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) selain menjangkakan pengeluaran perlombongan yang lemah akan menjejaskan pertumbuhan KDNK 2024 bagi suku ketiga," katanya.

Mengikut sektor, MIDF Research berkata semua sektor ekonomi berkembang kecuali perlombongan yang menurun sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun, yang boleh dikaitkan dengan pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang lebih lemah.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan anggaran awal menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, selepas pertumbuhan yang kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam pada itu, MIDF Research menekankan pengembangan lebih kukuh dalam perbelanjaan domestik yang boleh menjadi kejutan positif kepada unjuran KDNK, memandangkan pasaran buruh yang positif dan penangguhan rasionalisasi subsidi RON95 sehingga pertengahan 2025.

"Bagaimanapun, kami masih berhati-hati terhadap risiko penurunan yang berpotensi terhadap prospek pertumbuhan Malaysia akibat permintaan akhir yang lebih lemah daripada ekonomi utama selain kemungkinan berlaku gangguan kepada rantaian bekalan global serta perdagangan antarabangsa akibat ketegangan geopolitik dan perdagangan yang meningkat," katanya.

MIDF Research adalah sebahagian daripada MIDF Amanah Investment Bank.

-- BERNAMA