BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

MBI-BIZAPP Jalin Kerjasama, Perkasa 50,000 Usahawan PMKS Selangor

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Bizapp Ventures Sdn Bhd dan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI) telah menandatangani Memorandum Kerjasama untuk memperkasakan 50,000 usahawan perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) di Selangor ke arah digital dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif BIZAPP Mohd Jefrey Aman, dalam kenyataannya berkata melalui inisiatif sistem POS-PLATS (Point Of Sales) - Program Platform Selangor (PLATS), pihaknya telah membangunkan dan menyediakan sistem BIZAPPOS kepada usahawan PLATS.

Beliau berkata sistem POS itu juga dilengkapi peranti khas yang mampu menyokong aktiviti jualan harian peniaga dengan fungsi pengurusan inventori, produk dan penerimaan pembayaran tanpa tunai seperti kad kredit dan debit, sistem kod respon pantas (QR) serta dompet digital.

"Kerjasama ini sangat tepat pada masanya kerana inisiatif sistem POS-PLATS ini penting bagi memastikan agenda Kerajaan Negeri Selangor ke arah masyarakat bebas tunai dapat direalisasikan dalam tempoh 5 tahun.

“Sebagai syarikat teknologi tempatan, kami berbangga kerana MBI telah memilih BIZAPP untuk menjayakan agenda ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Berbekalkan pengalaman lebih lapan tahun dalam industri digital serta rekod prestasi syarikat itu yang telah membantu hampir 700,000 usahawan, beliau yakin syarikat itu dapat memberikan yang terbaik dalam menyokong inisiatif MBI ini.

Majlis menandatangani memorandum kerjasama dan pelancaran inisiatif sistem baharu PLATS-POS telah disaksikan dan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bersempena Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) ke-9, yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

MBI diwakili oleh Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor, manakala BIZAPP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Jefrey Aman.

-- BERNAMA