BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

Cukai Dividen Dua Peratus Ke Atas Pemegang Saham Dengan Dividen Tahunan Lebih RM100,000 - MoF

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan bercadang memperkenalkan cukai dividen sebanyak dua peratus ke atas pendapatan bercukai dividen selepas mengambil kira pelepasan dan potongan yang dibenarkan, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2025.

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini berkata cukai dividen akan dikenakan ke atas pendapatan dividen yang diterima pemegang saham individu bagi dividen yang dibayar, dikreditkan atau diagihkan daripada keuntungan syarikat.

Selain itu, ia turut dikenakan ke atas pemegang saham individu terdiri daripada individu pemastautin, bukan pemastautin dan individu yang memegang saham melalui nominee.

"Nilai ambang ialah pendapatan dividen tahunan yang melebihi RM100,000," kata kementerian itu.

Menurut kementerian, pengecualian cukai dividen diberikan kepada pendapatan dividen daripada luar negara; pendapatan dividen yang diagihkan daripada keuntungan syarikat yang mendapat taraf perintis dan elaun pelaburan semula serta; pendapatan dividen yang dibayar, dikreditkan atau diagihkan daripada keuntungan syarikat perkapalan yang dikecualikan daripada cukai.

Selain itu, pengecualian turut diberikan kepada pendapatan dividen yang diagihkan oleh koperasi; pendapatan dividen yang diisytiharkan oleh dana tertutup; pendapatan dividen yang diterima oleh pemastautin daripada entiti Labuan; dan mana-mana pengecualian yang telah diberi ke atas pendapatan dividen di peringkat pemegang saham.

"Cukai Dividen tidak terpakai ke atas agihan keuntungan yang dibuat kepada pencarum dan penyimpan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT); Amanah Saham Nasional Bumiputera (ASNB); atau mana-mana unit Amanah," kata MoF.

-- BERNAMA