BERITA TERKINI   Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri serta Labuan sehingga 5 petang ini - MetMalaysia | Aspek keselamatan perkhidmatan KLIA Aerotrain yang akan beroperasi berada di tahap tinggi - Loke | Perkhidmatan KLIA Aerotrain akan mula beroperasi pada 1 Julai ini bermula 10 pagi - Loke | 

RM550 Juta Diperuntuk Rancakkan Aktiviti Pelancongan

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) – Kerajaan memperuntukkan hampir RM550 juta bagi mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan menerusi Belanjawan 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata persiapan rapi dilakukan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Ini termasuk sejumlah RM110 juta disediakan bagi melengkapkan kawasan pelancongan, menjalin kerjasama ekopelancongan dan menyokong pencalonan UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata ia antaranya melibatkan penambahbaikan kemudahan yang akan dilaksanakan di Taman Negara Endau Rompin, Johor; Pulau Redang, Terengganu; dan Pantai Tusan Bekenu, Sarawak.

Menurutnya kerjasama ekopelancongan dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Habitat Foundation turut dijalin menerusi peruntukan itu.

Anwar berkata bagi memelihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif, Khazanah Nasional Berhad menyediakan sebanyak RM600 juta untuk memulih serta mengangkat nilai Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

“Ini termasuk membina jambatan bertingkat yang menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa Seri Negara,” katanya.

-- BERNAMA