BERITA TERKINI   Keputusan 40 peratus hasil Sabah muktamad, tiada rayuan difailkan, Kerajaan MADANI kekal komited tunai tuntutan di bawah MA63 - PM Anwar | Penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara pada masa ini - TPM Fadillah | Bekalan gas dalam negara stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa. - TPM Fadillah | Sebanyak 85 peratus pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa - TPM Fadillah | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.525 juta kepada lima pondok, pusat tahfiz di Sabah bagi naik taraf infrastruktur - PM Anwar | 

BIMP-EAGA Perlu Terus Perkukuh Kerjasama Tangani Jurang Pembangunan

KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) perlu terus memperkukuh kerjasama menangani jurang pembangunan, kata Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata BIMP-EAGA ditubuhkan untuk mempercepat pembangunan sosio-ekonomi kawasan kurang membangun, terpinggir dan terpencil dari segi geografi di empat negara anggota, sebagai sebahagian usaha menyeluruh untuk merapatkan jurang pembangunan.

“Strategi utama BIMP-EAGA adalah menggerakkan dan menarik pelaburan sektor swasta untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dalam subrantau ini.

“Dalam konteks ini, kerajaan di peringkat negara, negeri, wilayah dan tempatan mempunyai peranan penting untuk dilaksanakan kerana bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran kondusif melalui penetapan dasar, peraturan dan infrastruktur yang sesuai,” katanya semasa mempengerusikan Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan (CMLGF) BIMP-EAGA keenam di sini, pada Rabu.

Beliau berkata CMGLF berfungsi sebagai platform utama yang mewakili kepentingan, aspirasi dan keutamaan pembangunan negeri, wilayah dan kerajaan tempatan.

Joachim berkata forum itu menggalakkan aktiviti perdagangan, pelancongan, pelaburan dan lain-lain aktiviti rentas sempadan dalam subrantau itu.

“Saya amat berharap forum ini akan mencapai kejayaan besar dalam memupuk perbincangan yang bernas, memajukan idea inovatif dan merangsang persekitaran kolaboratif yang menyatukan pelbagai perspektif daripada subwilayah kita.

“Secara kolektif, kita boleh mengubah platform ini menjadi hab inspirasi, pemerkasaan dan tindakan ke arah pembangunan yang bermanfaat untuk semua, akhirnya meningkatkan kualiti hidup rakyat di subrantau ini, terutama di kawasan pedalamaman di empat negara kita,” katanya.

-- BERNAMA