BERITA TERKINI   Ketegangan sempadan Kemboja-Thailand : Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN ditangguhkan kepada Isnin (22 Dis) - Wisma Putra | Kerajaan yakin rundingan dengan kerajaan negeri Terengganu berhubung isu FGV akan dapat dicapai demi kepentingan peneroka - TPM Ahmad Zahid | 53.9 peratus lepasan SPM pilih sektor TVET, hampiri sasaran 70 peratus menjelang akhir RMK13 - TPM Ahmad Zahid | Konflik Kemboja-Thailand: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadual esok, ditangguhkan - PM Anwar | Rundingan sedang dijalankan bagi meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja – PM Anwar | 

UOB Malaysia Lancar Program Pembiayaan Mampan Sehingga RM1 Bilion Untuk Sektor OGSE

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- United Overseas Bank (Malaysia) Bhd hari ini melancarkan Program Pembiayaan Vendor Mampan (SVFP) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM1 bilion untuk menyokong sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia dalam usaha penyahkarbonan dan peralihan tenaga.

Dalam satu kenyataan, bank itu berkata pembiayaan itu disediakan untuk membantu pembekal OGSE menyertai Program Sokongan Pembekal Petronas (PSSP).

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata pelancaran SVFP mencerminkan komitmen bank dalam membantu peralihan sektor OGSE ke arah kemampanan.

“Memandangkan Petronas adalah rakan kongsi kami yang dihargai, kami berbesar hati untuk memberikan sokongan kepada pembekal mereka, yang kebanyakannya perusahaan kecil dan sederhana bagi membantu memulakan perjalanan penyahkarbonan mereka.

“Pembiayaan ini juga akan membantu sektor OGSE negara kekal berdaya saing dalam rantaian nilai global, dengan jangkaan yang lebih tinggi terhadap peraturan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang dilaksanakan di seluruh dunia,” katanya.

Bank itu berkata pembiayaan itu merangkumi penyelesaian pembiayaan peralihan dengan kadar kompetitif yang disesuaikan untuk syarikat OGSE yang menyertai PSSP.

"Ia juga termasuk insentif untuk syarikat yang terlibat memulakan inisiatif penyahkarbonan mereka, seperti penerapan penggunaan tenaga boleh baharu, peningkatan kecekapan tenaga, langkah pengurangan pelepasan, dan elektrifikasi kenderaan.

“SVFP juga memperkenalkan langkah untuk syarikat OGSE menjejaki dan menunjukkan kemajuan dalam amalan kemampanan mereka. Ini termasuk melengkapkan modul pembinaan kapasiti, mewujudkan pelaporan gas rumah hijau (GHG) asas, dan menunjukkan pengurangan GHG tahunan,” katanya.

-- BERNAMA