BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADE  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

IPP Malaysia Naik 4.1 Peratus Pada Ogos, Didorong Oleh Pertumbuhan Sektor Pembuatan

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 4.1 peratus pada Ogos 2024, didorong oleh pertumbuhan sederhana dalam sektor pembuatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IPP menyederhana kepada 4.1 peratus pada Ogos 2024 berbanding peningkatan 5.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Katanya peningkatan ini terutamanya disokong oleh perkembangan bagi output sektor pembuatan pada 6.5 peratus, berbanding 7.7 peratus pada Julai.

“Ini diikuti dengan pertumbuhan positif 4.1 peratus (Julai 2024: 7.0 peratus) dalam pengeluaran sektor elektrik.

“Sebaliknya, pengeluaran sektor perlombongan terus susut tahun ke tahun selama dua bulan berturut-turut, dengan mencatatkan negatif 6.4 peratus pada Ogos 2024 (Julai 2024: -5.0 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, katanya IPP pulih kepada 1.7 peratus, selepas berkurangan 1.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Menurut DOSM, peningkatan dalam pengeluaran sektor pembuatan pada Ogos 2024 disokong oleh pengeluaran dari industri berorientasikan eksport, yang tumbuh perlahan kepada 6.3 peratus berbanding 7.8 peratus yang direkodkan pada Julai 2024.

“Ini disokong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam industri pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan yang mencatatkan peningkatan 22.6 peratus (Julai 2024: 21.9 peratus) dan pembuatan produk getah sebanyak 11.1 peratus (Julai 2024: 10.5 peratus).

“Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal turut menyumbang kepada peningkatan tersebut dengan mencatatkan pertumbuhan 8.7 peratus (Julai 2024: 5.0 peratus),” katanya.

Menurut DOSM, perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport bertambah baik sebanyak 3.0 peratus (Julai 2024: -3.3 peratus). 

Katanya industri berorientasikan domestik terus mencatatkan peningkatan sebanyak 7.1 peratus, perlahan sedikit berbanding 7.5 peratus pada bulan sebelumnya.

“Prestasi kukuh ini sebahagian besar dipengaruhi oleh pertumbuhan yang memberangsangkan dalam pembuatan produk logam kecuali mesin dan kelengkapan serta pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler dengan masing-masing meningkat sebanyak 10.3 peratus (Julai 2024: 9.1 peratus) dan 7.7 peratus (Julai 2024: 3.9 peratus),” katanya.

DOSM berkata IPP untuk beberapa negara termasuk Singapura, Amerika Syarikat dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan output yang lebih tinggi pada Ogos 2024 manakala China, Korea Selatan dan Vietnam terus berkembang tetapi pada kadar yang lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya Jepun dan Thailand susut pada bulan tersebut. 

“Secara kumulatif, sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, IPP meningkat sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023, dengan semua sektor menunjukkan pengembangan iaitu indeks perlombongan (1.8 peratus); indeks pembuatan (4.4 peratus) dan indeks elektrik (6.7 peratus),” katanya.

-- BERNAMA