BERITA TERKINI   Orkim Bhd mula disenaraikan di Pasaran Utama, tidak berubah pada 92 sen seperti harga IPOnya, dengan 5.40 juta saham diniagakan | Kehadiran Orkim dalam logistik maritim dan pengangkutan tenaga menyokong keselamatan tenaga negara - Amir Hamzah | Keyakinan pelabur yang kukuh dan peluang wujud untuk syarikat yang bersedia memanfaatkan ketelusan, tadbir urus dan pertumbuhan mampan - Amir Hamzah | 

Pharmaniaga Lantik EY Sebagai Juruaudit Luar Baharu

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) melantik Ernst & Young (EY) sebagai juruaudit luar baharunya, berkuat kuasa 9 Okt 2024.

Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) itu berkata EY menggantikan PricewaterhouseCoopers (PwC), yang meletak jawatan susulan notis bertulis rasmi yang diserahkan kepada kumpulan itu pada 20 Sept 2024.

Pengarah Urusan Pharmaniaga Zulkifli Jafar berkata pelantikan itu sejajar dengan inisiatif seluruh kumpulan Boustead Holdings Bhd untuk menyatukan fungsi audit luaran oleh juruaudit.

“Memandangkan EY sudah biasa dengan operasi dan perniagaan kami, mereka adalah pilihan yang wajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Zulkifli berkata ketika Pharmaniaga meneruskan inisiatif strategik dan rancangan perniagaannya, pelantikan EY akan memastikan penjajaran yang lancar merentas semua anak syarikat dalam kumpulan Boustead.

Pharmaniaga adalah salah satu kumpulan farmaseutikal bersepadu terbesar di Malaysia.

Laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (Tahun Kewangan 2023) menunjukkan Boustead memegang 679.15 juta saham atau 47.12 peratus kepentingan dalam syarikat tersebut.

 -- BERNAMA